April 29, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Okt. – Seramai 299 orang kakitangan dan juga bekas kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi 2018 anjuran universiti itu.

Majlis itu telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru dan disempurnakan perasmiannya oleh Pro-Canselor, Ybhg. Tan Sri Salleh Mohd. Nor

Naib Canselor UTM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Wahid Omar berkata universiti itu kini telah pun menempa nama dan melakar pelbagai kejayaan di peringkat nasional dan juga persada global.

“Sudah tentu setiap kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sumbangan dan usaha tanpa jemu daripada setiap staf daripada pelbagai peringkat dan jabatan termasuklah yang diraikan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan pembukaan majlis. Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik danPengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan Pemangku Pendaftar, Abdul Razib Shahuddin.

Prof. Wahid berkata tempoh perkhidmatan selama 20 hingga 30 tahun juga telah menjadikan seseorang kakitangan itu matang dan berpengalaman dalam tugasan masing-masing.

“Pelbagai cabaran dan dugaan yang telah diharungi oleh setiap individu yang bergelar staf UTM dalam menjalankan tugas sebagai ejen pendidik masyarakat, bangsa dan negara.

“Dalam tempoh yang sebegini panjang, saya percaya banyak ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang telah dikutip dan ini amatlah berharga dan bernilai bagi anda semua,” katanya.

Kepada golongan pesara pula, Prof. Wahid berkata UTM amat berbesar hati jika golongan pesara ini terus memberikan sumbangan kepada universiti ini dengan menyertai Persatuan Pesara UTM dan juga Skim Amal Bakti.

“Saya berharap agar saudara-saudari sekalian akan memanfaatkan masa yang terluang selepas persaraan ini dengan sebaik-baiknya.

“Pesara juga diharapkan agar lebih menitikberatkan penjagaan kesihatan, pemakanan yang seimbang, senaman yang teratur serta gaya hidup sihat serta meningkatkan amalan kepada Allah sebagai bekalan ke akhirat kelak,” katanya lagi.

Sebanyak 299 orang pesara, bakal pesara dan juga kakitangan telah diraikan dalam majlis tersebut.

Dari jumlah itu seramai 158 bakal pesara dan pesara telah diberikan Anugerah Jasa Abadi dan seramai 82 orang menerima Anugerah Jasa Bakti (20 tahun perkhidmatan) dan juga Anugerah Jasa Setia bagi 30 tahun perkhidmatan (59 orang).

Wajah-wajah riang staf yang diraikan
Tan Sri Salleh (kiri sekali) menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima di Majlis Sanjungan Budi 2018 UTM sambil diperhatikan oleh Datuk Wahid

Explore More