Disember 19, 2024

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah binti Idrus (dua dari kanan) bersama pasukan UTM-PST

IPOH, 8 Okt, – Pasukan Universiti Teknologi Malaysia – Pusat Sukan Tumpuan (Rowing), UTM-PST, mempamerkan prestasi membanggakan apabila muncul juara keseluruhan Rowing Varsity Boat Race 2018 (VBR) yang berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort.

UTM-PST merangkul lima emas dan dua Perak menewaskan juara tahun 2017, Chinese University of Hong Kong.

VBR ialah kejohanan rowing (mendayung) peringkat universiti di Malaysia yang disertai oleh pasukan universiti tempatan dan antarabangsa (Asia khususnya).

Tahun ini merupakan tahun yang ke-12 kejohanan ini dianjurkan yang mana juga merupakan tahun yang kedua dianjurkan di utara Malaysia.

Emas pertama UTM-PST hadir melalui acara Men Four yang dianggotai Amirul Asyraf Mohd Bakeri, Haikal Jamaluddin, Muhammad Khasful Rahman Zakaria dan Muhammad Arif Ashraf Mohd Rusok.

Pasukan UTM-PST mencatatkan masa 07:05.86 saat menewaskan pasukan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM, 07:08.33 saat dan ketiga pasukan dari Sri Lanka, University of Colombo yang mencatat masa 07:10.03 saat.

Emas kedua disumbang Mohamad Amirul Norhadi dalam acara Single Scull. Amirul mencatat masa 07:48.35 saat meninggalkan Yip Ka Wing dari Chinese University of Hong Kong di tempat kedua, 08:07.61 saat. Ketiga Parera Damian dari University of Colombo dengan catatan 08:32.69 saat.

Kecemerlangan UTM-PST diteruskan dalam acara Lightweight Men Double Scull. Pasangan Lukman Arif Mohd Kamal dan Ahmad Ameerul Saufee Muhammad Saad pertama digarisan penamat dengan catatan 07:52.00 saat.

Kedua pasangan Tionson Juan Rafael dan Lazaro Joseph Cronelius dari Ateneo de Manila, 08:01.81 saat.

Pasangan Yangon University Boat Club, Sann Minh Htoo dan Aung The Hien ketiga dengan catatan 08:04.53.

Acara Women Single Scull juga milik UTM-PST apabila Nur Fatiha Che Yon Rosni mempamer prestasi cukup cemerlang untuk muncul juara dengan catatan 10:07.54 saat mengatasi Chau Natalie dari Chinese University of Hong Kong, kedua, dengan masa 10:18.30 saat.

Manakala tempat ketiga menjadi milik Hnin Su Wal dari Yangon University Boat Club dengan catatan 10:34.90.

Kemuncak kecemerlangan pasukan UTM-PST kali ini adalah kejayaan mengungguli acara utama iaitu Men Eight.

Pasukan UTM-PST yang dianggotai Amirul Asyraf Mohd Bekeri, Haikal Jamaluddin, Muhammad Arif Ashraf Mohd Rusok, Muhmmad Khairuddin Azwi, Ahmad Ameerulsaufee Muhammad Saad, Lukman Arif Mohd Kamal, Mohamad Amirul Norhadi dan Muhammad Zulhanif Mazlan nyata berada di kelas tersendiri apabila menang selesa untuk muncul juara dengan catatan masa 06: 58.56 saat.

Tempat kedua menjadi milik pasukan Chinese University of Hong Kong dan ketiga, University Of Colombo.

UTM-PST juga berjaya memenangi dua Perak dalam acara Women Eight dan Lightweight Women Double Scull melalui pasangan Norfika Nordin dan Nur Afiqah Zania Sumeri.

Sepuluh buah universiti tempatan dan pasukan UTM-PST serta lapan universiti dari negara Asean, dua universiti dari Sri Lanka dan satu dari Hong Kong bersaing dalam kejohanan tahun ini.

Antara Universiti luar negara yang hadir ialah Atenio de Manila, Nanyang Technological University, National University of Singapore, Yangon University Boat Club, Singapore Institute of Management, Kasertsart University, Suranaree University of Technology, Chinese University of Hong Kong, University of Moratuwa, University of Colombo dan Yangon University of Economics.

Seramai 311 pendayung berentap dalam empat acara kategori lelaki dan tiga acara untuk wanita bagi jarak 2000 meter.

Selain mendayung, acara kayak single dan double juga dipertandingkan bagi jarak 500 meter dan 1000 meter.

Bagi acara kayak menyaksikan Chinese University of Hong Kong muncul juara keseluruhan setelah memenangi dua emas dan dua perak.

Kejohanan Varsity Boat Race tahun ini juga dimeriahkan lagi dengan pengenalan Kejohanan Rowing Junior Antarabangsa yang menyaksikan penyertaan dari Sri Lanka, Pakistan dan Emiriah Arab Bersatu, UEA.

Dua kategori dipertandingkan iaitu acara single, JM1X dan berempat, JM4-untuk lelaki dan wanita melibatkan seramai 66 atlet yang bersaing bagi jarak 2000 meter.

Varsity Boat Race merupakan program tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia bertujuan memajukan sukan mendayung di peringkat lebih tinggi dikendalikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Mendayung Malaysia, Majlis Sukan Universiti Malaysia, Persatuan Kenu Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Bukit Merah Laketown Resort.

Selain mencungkil bakat baru dalam sukan mendayung kejohanan ini juga dilihat berjaya mempromosikan lokasi pelancongan menarik khususnya di Negeri Perak. Kejohanan telah bermula pada 2 Oktober sehingga 6 Oktober 2018.

Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Durrishah Idrus, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknologi Malaysia.  Turut hadir pada majlis penutupan ialah En. Mohd Izwan Khairuddin, Ketua Penolong Setiausaha Pembangunan,  Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia

 

Explore More