April 28, 2024

Search
Close this search box.

Pakar Kejuruteraan Forensik Berkongsi Ilmu Penyiasatan Struktur Bangunan kepada Warga Emas

Malang tidak berbau namun sekiranya mempunyai ilmu, sebarang kemungkinan boleh dielakkan.
Inilah yang menjadi titik tolak kepada program Pemindahan Ilmu dan Kemahiran Penyiasatan Keadaan Struktur Bangunan atau Building Condition Assesment (BCA) anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Program yang merupakan inisiatif hasil daripada perjanjian persefahaman antara UTM dan MBJB pada November 2017 ini menjadikan wakil penduduk yang terdiri daripada warga emas yang menetap di Pangsapuri Lima Tingkat Larkin sebagai sasaran.
Program ini bertujuan untuk berkongsi ilmu oleh pakar kejuruteraan forensik kepada wakil penduduk daripada golongan warga emas dan tanpa latar belakang teknikal. Program ini dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti wakil penduduk serta melatih mereka dengan kemahiran teknikal yang melibatkan kerja-kerja penilaian struktur bangunan dan proses merektifikasi kacacatan bangunan.
Melalui program ini, wakil penduduk telah diberi pendedahan dan latihan teknikal yang sistematik untuk menjalankan penyiasatan terhadap keadaan struktur bangunan, penyelenggaraan bangunan dan proses membaiki kacacatan bangunan. Program ini telah membantu wakil penduduk untuk lebih yakin dan sistematik dalam melaksanakan tugasan mereka terhadap pemantauan ke atas bangunan kediaman mereka. Dianggarkan sebanyak 300 buah unit rumah kediaman di Pangsapuri Lima Tingkat Larkin mendapat manfaat daripada program ini.

Penyiasatan Keadaan Struktur Bangunan atau BCA kenal pasti permasalahan bangunan

BCA merupakan suatu aktiviti yang sangat penting pada masa kini. BCA ialah satu penilaian yang dilaksanakan keatas bangunan (terutamanya bangunan bertingkat) yang telah berusia lebih daripada sepuluh tahun bagi mengenalpasti kondisi semasa komponen struktur dan bukan struktur di bangunan terbabit. Ia amat penting justeru bangunan akan melalui fasa kemerosotan kualiti tidak lama selepas ia dibina.BCA diyakini mampu membantu dari segi mendapatkan maklumat awal dan seterusnya tindakan susulan jika terdapat kecacatan yang membimbangkan pada bangunan terbabit. Ia tentunya menjimatkan kos pemulihan kecacatan justeru tindakan awal telah dibuat serta secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup komuniti di bangunan terbabit.

Pusat Kejuruteraan Forensik, Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) telah menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan program ini. Ia telah membangunkan satu sistem yang sistematik dalam melaksanakan BCA di bangunan-bangunan yang telah berusia lebih daripada 10 tahun. Sistem ini telah dibangunkan oleh pakar-pakar dengan pelbagai latar belakang kejuruteraan seperti kejuruteraan bahan, kejuruteraan struktur dan kejuruteraan geoteknik diketuai oleh Professor Ir Dr Mohd Hanim bin Osman dan Dr Noor Nabilah binti Sarbini.

Pemantauan awal program yang dijalankan oleh pihak Pusat Kejuruteraan Forensik ke pangsapuri terbabit telah mendapati pangsapuri yang berusia lebih daripada 30 tahun ini diuruskan oleh pihak Persatuan Penduduk tanpa sebarang latar belakang teknikal dan berada di bawah kategori warga emas. Terdapat banyak kerosakan terutamanya kerosakan struktur dan bukan struktur yang membimbangkan disebabkan tiada pemantauan rapi dibuat oleh individu yang berkelayakan.

Contoh kerosakan bangunan yang memerlukan proses baik pulih

Program Pemindahan Ilmu dan Kemahiran Penyiasatan Keadaan Struktur Bangunan ini melibatkan tiga fasa pelaksanaan yang bermula daripada Januari 2018 dan berakhir pada September 2018 iaitu: Fasa Pertama, Pemindahan ilmu, Fasa Kedua, Demonstrasi penyiasatan keadaan struktur bangunan dan Fasa Ketiga ialah Kelestarian program.

Fasa Pertama : Pemindahan Ilmu

Sesi perbincangan dijalankan seawal Januari 2018 bagi mengetahui masalah dan sejauhmana persatuan penduduk menjalankan proses pemantauan kecacatan bangunan. Selain itu, perbincangan juga melibatkan perolehan maklumat dalam ilmu dan tahap kecekapan wakil penduduk dalam menjalankan kerja harian mereka yang melibatkan proses pemantauan penyelenggaraan bangunan.

Pensyarah daripada SKA sedang menerangkan kepada penduduk

Fasa Kedua : Demonstrasi penyiasatan keadaan struktur bangunan

Demostrasi penyiasatan keadaan struktur bangunan dilaksanakan selepas program pemindahan ilmu dilaksanakan kepada wakil penduduk pangsapuri. Bagi menyemarakkan program ini, staf teknikal dan pelajar UTM turut dijemput bagi melibatkan diri. Demonstrasi adalah melibatkan ruangan dalam unit rumah, persekitaran bangunan, tangki dan fire hydrant, ruang gunasama penduduk/koridor dan komponen struktur dan bukan struktur.

Fasa ketiga :  Kelestarian Program

Bagi memastikan kelestarian program, pihak UTM telah sekali lagi hadir pada bulan September 2018 di pangsapuri terbabit (lebih kurang 9 bulan selepas fasa 1 dan 2) bagi melihat kemandirian wakil penduduk dalam melaksanakan proses penyiasatan keadaan struktur bangunan dan penyelenggaraan.

Pensyarah yang terlibat dalam program ini adalah daripada Jabatan Struktur dan Bahan SKA yang merupakan pakar daripada pelbagai bidang seperti kejuruteraan forensik, teknologi konkrit, kejuruteraan bahan dan struktur bagi bersama-sama menjalankan penyiasatan keatas struktur bangunan pangsapuri yang telah diduduki oleh penduduk semenjak tahun 1980an.

Hasil program

Penduduk telah diberi pendedahan dan latihan teknikal terhadap kaedah yang sistematik untuk menjalankan penyiasatan keadaan struktur dan penyenggaraan bangunan. Dengan perkongsian ilmu itu, penduduk akan lebih cakna dengan tanda-tanda kerosakan bangunan dan mengambil langkah sepatutnya supaya dapat mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku.

Naib Pengerusi (Penyelidikan dan Staf Akademik) SKA, Prof. Dr. Mohammad bin Ismail berkata program tersebut melibatkan kerja-kerja menilai bangunan yang telah lama dan membantu penduduk mengenal pasti kesalahan atau kerosakan bangunan dengan mudah. Di samping itu penduduk juga diajar bagaimana untuk membaiki kerosakan tersebut.

“Kami juga bersedia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan mana-mana lapisan masyarakat dan agensi kerajaan jika diperlukan kerana ini penting untuk keselamatan, kesihatan dan keselesaan mereka,” tambah beliau.

Prof. Dr. Mohammad (tiga dari kiri) bersama staf dan penduduk semasa program dijalankan
Program ini berbentuk teknikal namun telah direkabentuk oleh Pusat Kejuruteraan Forensik, SKA, UTM dengan mengambilkira golongan sasaran tanpa latar-belakang teknikal. Oleh itu program ini ialah program teknikal yang mesra golongan sasaran, berjaya dan dapat dijadikan model untuk digunakan di kawasan komuniti yang lain.

Antara ilmu penyiasatan bangunan yang telah dikongsi dengan penduduk adalah dari segi membuat pemantauan ke atas keadaan komponen struktur bangunan serta menyediakan dokumen senarai semak bagi merekodkan sebarang kecacatan di bangunan yang perlu berada di dalam pemantauan. Yang lebih mengujakan, wakil penduduk mampu menjalankan kerja-kerja rektifikasi seperti tampalan/patch mudah pada kecacatan yang berkaitan.

Salah seorang penduduk membuat tampalan pada salah satu keretakan bangunan
Ketua persatuan penduduk Pangsapuri Lima Tingkat Larkin, Encik Rusnan bin Abdullah berharap pihak UTM tidak putus asa untuk membantu penduduk dalam mengendalikan bangunan dengan lebih baik.
Ketua Persatuan Penduduk Pangsapuri Lima Tingkat Larkin, Encik Rusnan bin Abdullah

Manakala Pengarah Bahagian Kejuruteraan MBJB, Ir Haji Sulaiman bin Mohd Taib berkata pihaknya akan terus komited dalam memberi kerjasama dan segala bantuan yang perlu dalam menjayakan program seperti ini.

 

Explore More