April 28, 2024

Search
Close this search box.

PKPD Di UTM: Bomba Jalankan Sanitasi Bersepadu

JOHOR BAHRU, 25 Mei — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor telah melaksanakan Operasi Sanitasi Awam Bersepadu bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Johor Bahru di sini, hari ini.

Sanitasi tersebut merupakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di UTM bermula 21 Mei hingga 3 Jun.

Pengarah JBPM Negeri Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Dato’ Haji Yahaya Haji Madis memaklumkan bahawa JBPM Negeri Johor merupakan Urusetia Koordinasi dan Pelarasan Ops Sanitasi Awam Peringkat Negeri Johor telah menjalankan operasi bersepadu yang dijalankan pada hari ini bertujuan sebagai salah satu tindakan bagi memutuskan rantaian pandemic Covid-19 yang telah melanda beberapa kawasan di UTM Kampus Johor Bahru ini.

Menurutnya operasi ini telah melibatkan seramai 62 orang pegawai dan anggota yang merangkumi 36 orang anggota dari 3 buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu BBP Skudai, BBP Larkin dan BBP Iskandar Puteri serta 8 orang pegawai dari MBIP, 6 orang dari MPKu dan 12 orang anggota dari Persatuan Bomba Sukarela Kulai Besar dan Senai.

Turut hadir bagi melihat pelaksanaan operasi hari ini ialah Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulai merangkap Pegawai Daerah Kulai, Tuan Haji Zainor Adani, wakil Datuk Bandar MBIP dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid.

Sementara itu Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang telah bertarung nyawa bertungkus-lumus berkhidmat demi meratakan lengkung Covid-19.

Penghargaan tersebut turut ditujukan kepada sukarelawan, staf dan pelajar.

Beliau juga turut menjunjung kasih atas keprihatinan Canselor UTM, DYMM Tuanku Permaisuri Johor dan berterima kasih kepada pelbagai pihak lain yang bersama-sama meringankan beban warga UTM dalam mendepani pelaksanan PKPD dan Covid-19.

Tambah beliau, dalam situasi yang mencabar seperti inilah peluang semua pihak untuk saling bekerjasama, saling mengenali, malah lebih menghargai mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Sebagai contoh, sinergi antara JBPM, MBIP, MPKu dengan UTM pada hari ini adalah untuk kebaikan bersama dalam memutuskan rantaian Covid-19, akhiri beliau.

Explore More