Disember 19, 2024

UTM Bangunkan Alat Rakam Kehadiran Berkonsep Pengecaman Wajah

JOHOR BAHRU, 13 September 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bakal membangunkan alat perakam waktu bekerja harian dengan konsep pengecaman wajah bagi staf universiti.

Sistem yang diberikan nama ‘Face Recognition Attendance System’ itu juga akan digunakan bagi tujuan merakam kehadiran staf ke majlis rasmi universiti bagi tujuan pemberian mata CPD.

Ketua Bahagian Pengurusan Operasi Infrastruktur, Pusat Teknologi Komunikasi Maklumat (CICT) UTM, Jaffar Sidek Haron berkata sistem ini akan dibangunkan dalam dua fasa iaitu pertama dan kedua.

“Fasa pertama melibatkan pembangunan sistem pengecaman wajah bagi tujuan merekod kehadiran harian staf ke pejabat dan juga merekod kehadiran staf ke majlis rasmi universiti bagi tujuan pemberian mata CPD.

“Fasa kedua pula adalah pembangunan sistem bagi tujuan akses ke bangunan universiti dengan menggunakan konsep yang sama,” katanya.

Melalui inovasi seperti ini, Jaffar berharap agar dapat memperkukuhkan semangat integriti di kalangan staf UTM.

“Kesemua sistem ini akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2019 dan pihak kami telah pun berjaya mendapatkan kelulusan penggunaannya dari pihak pengurusan universiti.

Bercakap mengenai aspek teknikal kemudahan ini, Jaffar berkata kehadiran staf boleh direkod terus melalui kamera pengecaman yang diletakkan di tempat-tempat yang akan ditentukan kemudian.

“Staf dikehendaki untuk memandang tepat ke arah kamera tersebut dan proses pengecaman wajah akan dilakukan serentak dengan kehadiran direkodkan. Kaedah yang sama juga digunakan untuk tujuan pemberian markah CPD,” katanya.

Projek di fasa kedua pula bakal menyaksikan UTM mempunyai kemudahan sistem keselamatan bangunan dengan akses di pintu-pintu pejabat mempunyai panel pengecaman wajah.

“Walaubagaimanapun kami akan meletakkan fokus yang penuh dalam membangunkan fasa pertama dahulu kerana ia merupakan tahap yang agak kritikal dan juga merupakan tempoh percubaan dalam pengenalan sistem ini,” katanya.

Jaffar Sidek Haron mencuba sistem akses pejabat berasaskan pengecaman wajah di hadapan pintu pejabat pentadbiran CICT UTM Johor Bahru.

Explore More