November 22, 2024

Search
Close this search box.

PROGRAM READ TO LEAD UTM INTERNATIONAL SINERGI BERSAMA PROGRAM BICARA KARYA PERPUSTAKAAN UTM KUALA LUMPUR “INSPIRASI MURABBI”

Perpustakaan, UTMKL (11 Mei 2021) – Telah berlangsung satu program Bicara Karya judul buku “Inspirasi Murabbi” hasil tulisan oleh YBhg. Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Sosial Sains & Kemanusiaan (UTM). Program yang telah berlangsung dengan sinergi Read to Lead Book Club UTM International tersebut telah dihoskan sendiri oleh Timbalan Pengarah UTM International Kuala Lumpur, PM Dr. Norhayati Abdullah.

Perkongsian karya buku dimulakan dengan pengenalan oleh Ustazah Norhafizah yang menyatakan bahawa karya “Inspirasi Murabbi” memperlihatakan cetusan idea dan kompilasi pengalaman peribadi beliau yang merangkumi nasihat, doa, kisah, tips nota, dan nukilan puisi sepanjang menjalankan amanah sebagai pendidik di UTM.  Menurut beliau persiapan membangunkan diri sendiri adalah sangat penting sebelum amanah mendidik insan lain dilaksanakan.  Mohonlah kekuatan dan pertolongan daripada Allah swt untuk kita menjalankan urusan tarbiyah kepada murid dan anak-anak khasnya serta msyarakat amnya.  Kunci pertolongan dan jalan daripada Allah SWT adalah dengan kita mengakui kelemahan dan kesalahan diri kita berserta mohonlah keampunan dan kekuatan dari-Nya.

Di samping itu juga, beliau telah turut berkongsi pengalaman kisah dan kisah peribadi  bagaimana proses tarbiyah pada dirinya semuanya bermula dengan asuhan dan didikan ibu bapa.  Antara kisah permohonan kemaafan ayahnya daripada kealpaan ketika menguruskan jemaah umrah di tanah suci.  Bagaimana seorang ayah boleh merendahkan egonya meminta maaf kepada si anak.  Bagi ustazah, itulah antara sifat-sifat pendidik sebenar, Murabbi Haqiqi.  Mengakui kesilapan dan mempamerkan sifat merendah diri.  Begitu terkesan kisah ini kepada diri ustazah sehingga beliau sendiri mempraktikkannya apabila memohon maaf kerana rasa bersalah memarahi anak-anaknya.

Ustazah Norhafizah menekankan elemen kelembutan dalam proses tarbiah dan mendidik.  Jika diterapkan didikan yang terlalu keras dan tegas, maka banyak implikasi buruk pada insan.  Anak-anak dan isteri jauh hati dengan suami.  Murid atau pelajar jauh hati pada guru dan pendidik.  Allah SWT sangat suka pada kelembutan dan kemaafan.  Mengambil manfaat perkara ini besar implikasi baiknya jika murabbi itu sendiri mendoakan kebaikan dan keampunan buat anak didiknya.  Redha pendidik merupakan salah satu faktor kejayaan murid-murid.  Adat dengan guru serta ibu bapa murabbi hakiki haruslah dijaga dengan baik.  Kitaran pendidikan yang baik di mana hormat berbalas hormat, mulia berbalas memuliakan.

Ustazah Norhafizah  menyimpulkan proses mendidik sebenar adalah aturan Allah SWT mendidik diri kita sendiri.  Kitaran mendidik yang sentiasa berterusan dan berpanjangan.  Terlalu banyak kemahiran dalam proses tarbiyah dan semua perkara serta kejadian di sekeliling kita adalah merupakan sebahagian proses mendidik/tarbiyah.  Dengan tarbiyah kita akan lebih mengenali diri kita yang sebenar.  Program diakhiri dengan sesi soal jawab bersama penonton yang bersiaran di halaman atas talian Facebook Live Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan UTM International Kuala Lumpur Campus yang mencatatkan kehadiran lebih 11,000 penonton virtual sepanjang siaran program selama sejam bermula dari 11.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Explore More