April 28, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 September 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan program revolusi transformasi akademik yang dikenali sebagai UTM Sinergi 4.0.

Program ini adalah inisiatif transformasi utama generasi keempat UTM sejak penubuhannya sebagai sebuah universiti pada tahun 1975.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan berkata melalui program Sinergi 4.0, 18 buah fakulti yang berasaskan sub-disiplin telah distrukturkan semula kepada tujuh buah fakulti sejajar dengan bidang utama akademik UTM.

“Sinergi 4.0 adalah untuk membolehkan UTM mencapai Kecemerlangan dan Kelestarian. Frasa kata “Sinergi untuk mencapai Kecemerlangan dan Kelestarian” ini mewakili tiga daripada empat nilai teras UTM.

“Frasa tersebut jelas menunjukkan UTM Sinergi 4.0 adalah pemangkin untuk melonjakkan universiti ini ke arah kecemerlangan global dan kelestarian institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai UTM Sinergi 4.0 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Prof. Dr. Mohd. Hamdan Hj. Ahmad, Penolong Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Madya. Ir. Dr. Shuhaimi Mansor, Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdul Rahim Hj. Mohd Yusoff, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof.  Dr. Muhammad Sukri Saud dan Dekan Azman Hashim International Business School (AHIBS), Prof. Dr. Nur Naha Abu Mansor.

“Sebelum transformasi ini dilakukan, terdapat lima halangan utama dari segi struktur dan sistem yang membataskan kemajuan UTM dari mencapai tahap “baik” (good) kepada “hebat” (great/excellent) yang mana ia memerlukan perubahan berani seperti Revolusi Transformasi Sinergi 4.0 ini.

“Halangan tersebut adalah Budaya kerja secara berasingan (silo), banyak pertindihan, kecekapan yang lemah, kekurangan banyak fungsi kritikal dan kurang tumpuan dan pembezaan,” katanya.

Melalui Sinergi 4.0, segala halangan-halangan kerjasama akan terhapus malah UTM dipacu ke arah 6P iaitu People (Manusia), Programme and Product (Program dan Produk), Promotion and Partnership (Promosi dan Jalinan Kerjasama), Physical Facilities (Fasiliti Fizikal), Penyampaian Prestasi (Performance Delivery) dan Purpose (Matlamat).

“Misi UTM adalah untuk membangunkan bakat insan yang holistik, teknologi berinovatif dan pendidikan berkualiti.

“Ini membolehkan UTM memperluaskan akses kepakaran, produk dan programnya di peringkat global khususnya melalui Pendidikan Trans-Nasional (TNE) bagi kelestarian institusi dan akhirnya untuk kesejahteraan dan kemakmuran sejagat,” katanya.

Dari kiri, Prof. Madya. Ir. Dr. Shuhaimi Mansor, Prof. Muhammad Sukri Saud, Prof. Dr. Abdul Rahim Hj. Mohd Yusoff, Prof. Dr. Nur Naha Abu Mansor dan Prof. Dr. Mohd. Hamdan Hj. Ahmad bersama Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan (duduk hadapan).

Explore More