November 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM juara Interaksi Belia Siswa Johor

 

JOHOR BAHRU 4 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul juara keseluruhan program Interaksi Belia Siswa Johor 2012 yang berakhir hari ini.

UTM memungut 18 mata keseluruhan menerusi enam acara sukan yang dipertandingkan dengan menewaskan 10 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan satu pasukan jemputan iaitu Gerakan Belia 4B Johor.

Selaku juara keseluruhan, UTM membawa pulang piala iringan serta sijil penghargaan dan hadiah disampaikan oleh Pengerusi Gerakan Belia 4B negeri, Syahrin Md. Jamaludin pada satu majlis ringkas di Hotel Good Hope di sini hari ini.

Turut hadir, Penasihat Agung Sekretariat Anak Johor Darul Takzim (Sejati), Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim.

Enam acara sukan yang dipertandingkan pada program anjuran Gerakan Belia 4B Johor dengan kerjasama Sejati dan UTM di kampus UTM Skudai di sini ialah boling, bola jaring, futsal, badminton, bola tampar dan sepak takraw.

Tempat kedua keseluruhan dimenangi Gerakan Belia 4B Johor dengan 13 mata, ketiga Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dengan 12 mata, keempat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang mengumpul 10 mata dan kelima Universiti Sains Malaysia (USM) dengan sembilan mata.

Kira-kira 1,000 menyertai program selama tiga hari itu dengan edisi pertama program tersebut diadakan di UKM pada tahun lalu.

Selain penganjuran karnival sukan, penganjur turut menjalankan Program Wacana Siswa membabitkan aktiviti seperti seminar, debat dan forum isu-isu semasa dan penerangan hala tuju kerajaan.

Syahrin dalam ucapannya berharap penganjuran seumpama itu dapat diperhebatkan pada masa akan datang, sekali gus mampu mengerat dan memperkukuhkan lagi hubungan mahasiswa yang berasal dari Johor. Read the article

Explore More