Disember 19, 2024

ISIUTM – MPSJ berkolaborasi jayakan program Rejuvenasi Perumahan Kos Rendah Bukit Puchong

PUCHONG, 30 Jun 2018 – Institut Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (ISIUTM) telah menjalin usaha sama dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam Program Rejuvenasi Perumahan Kos Rendah Bukit Puchong.

Program ini merupakan satu usaha transformasi komuniti berpendapatan rendah untuk membina ruang kejiranan berkualiti menerusi perancangan inklusif yang melibatkan seluruh warga komunitinya.

Ketua ISIUTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Gurupiah Mursib berkata program rejuvenasi ini membawa kepada ‘pemberdayaan komuniti’ (community empowerment) yang melahirkan masyarakat baharu yang berdaya kendiri dalam membangunkan rancangan kejiranan mereka.

“Kami juga mensasarkan pembinaan secara gotong-royong oleh penduduk tempatan yang akan berlangsung dalam bulan Oktober 2018 ini.

“Seramai 30 orang mahasiswa UTM dari Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Johor Bahru yang mengikuti program Community Service Learning juga akan terlibat dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program ini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua MPSJ, Hjh Noraini Roslan bersempena dengan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh penduduk setempat.

Seramai 500 orang penduduk tempatan, Ketua-ketua Jabatan MPSJ dan kumpulan konsultan dari ISIUTM dari FABU telah menghadiri majlis itu.

Pihak penganjur turut mengadakan sesi pameran yang mempamerkan projek komuniti UTM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di samping menjual hasil kerja tangan penduduk Bukit Puchong sendiri.

Turut diadakan adalah sesi pertemuan dan perbincangan dengan warga penduduk untuk menentukan apa yang diperlukan oleh komuniti itu dalam projek itu sendiri.

“Program rejuvenasi komuniti ini akan dimulakan dengan membina ruang serba guna bertempat di blok C perumahan itu sebagai projek perintis yang diharapkan dapat bertindak menjadi contoh kepada projek-projek berikutnya.

“Perancangan Projek Pilot ini dilaksanakan dari akar umbi dengan melibatkan komuniti untuk menimbulkan rasa pemilikan dan kepentingan bersama. Sebanyak RM200,000.00 telah diperuntukkan untuk menjayakan projek ini,” katanya.

Yang Dipertua MPSJ, Hjh Noraini Roslan (kanan) menerima cenderahati dari PM Dr. Gurupiah Mursib selepas majlis pelancaran Program Rejunivasi Perumahan Kos Rendah di Puchong, Selangor
PM Dr. Gurupiah Mursib (kanan) menyambut ketibaan Yang Dipertua MPSJ, Hjh. Noraini Roslan.
Yang Dipertuan MPSJ diberikan taklimat oleh salah seorang konsultan ISIUTM dari FABU UTM Johor Bahru.

 

 

 

Explore More