November 27, 2024

Search
Close this search box.

Umat Islam perlu jaga kesucian agama Allah – Sheikh Ahmad Saad Al-Azhari

SINGAPURA, 16 Julai 2018 – Umat Islam adalah digesa untuk menjaga dan memelihara kesucian agama Allah dan ajaran Rasul melebihi dari kepentingan dirinya dan juga manusia lain di atas muka bumi ini.

Hukum dan perintah agama adalah jelas dan tidak boleh ditokok tambah dan diubah suai mengikut selera manusia itu sendiri atas tuntutan perkembangan zaman mahupun apa juga sebab mengikut logik akal manusia itu sendiri.

Pendakwah bebas dari United Kingdom, Shaikh Ahmad Saad Al-Azhari berkata bahawa umat Islam itu harus tegas dalam menegakkan agamanya tetapi dalam masa yang sama hendaklah bersifat bijaksana dalam menyampaikan kebenaran mengenai agama Allah itu.

“Walaupun adakalanya sesetengah individu itu masih belum mampu melaksanakan perintah Allah yang tertentu, ia perlu mengakui kelemahan dirinya dan tidak sepatutnya berusaha untuk menukar perintah tersebut mengikut seleranya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya yang berlangsung di Simplyislam, sebuah sekolah agama di Singapura bertempat di Still Road, Singapura yang turut dihadiri oleh Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DYMM Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah. Mengiringi baginda adalah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Sheikh Ahmad selanjutnya berkata agama Islam adalah agama yang penuh ketertiban dan meletakkan peraturan-peraturan tertentu bagi berhadapan dengan situasi tertentu.

Beliau berkata ketertiban ini nampak ketara dalam aspek penyusunan buku dan Al-Quran sendiri apabila orang Islam menyusun kitab suci Allah di bahagian atas almari disusuli dengan buku-buku lainnya di bahagian bawah rak tempat simpan buku.

“Cara yang sama juga dipraktikkan ketika berhubungan sesama manusia. Contohnya adalah jangan meninggikan suara di hadapan kedua ibu-bapa anda. Umat Islam juga dilarang keras menderhakai kedua ibu-bapa mereka dengan tidak menggunakan nada suara yang keras ketika bercakap dengan mereka.

“Anak-anak yang tinggal bersama ibu-bapa juga perlu menghormati peraturan-peraturan tertentu dalam rumah orang tuanya. Begitu juga tetamu yang mengunjungi rumah orang lain perlu hormat peraturan tuan rumah serta rakyat yang perlu patuh kepada undang-undang negara supaya keharmonian timbul,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan Teknologi Maklumat dalam kehidupan manusia moden, Sheikh Ahmad Saad berkata penggunaan media sosial yang tidak dikawal boleh membawa banyak kerosakan kepada umat Islam dan manusia amnya.

“Ledakan teknologi maklumat yang pantas pada masa kini telah mendesak golongan ibu bapa dan pemimpin masyarakat perlu memastikan anak-anak dikawal dari terdedah dengan maklumat yang mampu menjejaskan kejernihan pemikiran dan pandangan hidup.

“Masa juga akan banyak dibazirkan kepada perkara yang kurang berfaedah dan golongan muda berpotensi kehilangan jatidiri,” katanya.

Selain berdakwah secara bebas, Sheikh Ahmad Saad juga adalah Pengarah Insan Institute For Arabic and Islamic Studies yang beroperasi di United Kingdom. Beliau akan berada di republik itu sehingga 17 Julai 2018 bagi memberikan beberapa siri ceramah.

DYMM Raja Zarith ( empat kiri) ketika mendengar ceramah yang disampaikan oleh Sheikh Ahmad Saad di Singapura.
Raja Zarith Sofia menandatangani buku pelawat di Sekolah Agama SimplyIslam, Singapura

Explore More