JOHOR BAHRU, 16 Julai 2018 – Penyusunan semula entiti akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Program Sinergi UTM 4.0 adalah bagi mengekalkan institusi itu supaya terus relevan dengan kehendak semasa.
Perubahan ini juga perlu bagi menjamin kesegaran universiti penyelidikan dan teknikal terkemuka itu agar terus berkekalan dari segi keunggulan akademiknya dan lestari dari segi pengurusan kewangannya.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam ucapannya berkata dengan penstrukturan semula pentadbiran fakulti di bawah program Sinergi 4.0 UTM, universiti telah menyaksikan pengecilan jumlah fakulti dari 18 ke 7 buah fakulti.
“Penggabungan entiti akademik yang kita lakukan ini mempunyai banyak kebaikan antaranya program akademik yang lebih bersinergi dan juga kelonggaran untuk berkolaborasi antara satu sama lain.
“Penstrukturan semula ini juga mampu untuk mengubah ketetapan minda (mindset) kita selama ini yang bersifat terfokus kepada bahagian kita sahaja. Ini amat penting terutamanya dalam era keterbukaan dalam abad ini di mana sifat ‘melindungi kawasan’ yang ada sebelum ini sudah dianggap tidak lagi relevan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada sesi Riadah (Retreat) Sinergi UTM 4.0 Pengurusan Kanan universiti itu yang berlangsung di Hotel Le Grandeur, Senai, Johor.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.
Menurutnya lagi, dengan penggabungan fakulti ini semua pihak tidak perlu bersikap skeptikal tetapi sebaliknya berganding bahu antara satu dengan yang lainnya bagi menghasilkan satu nilai baharu dalam pengurusan universiti di negara ini.
Naib Canselor itu juga menekankan beberapa elemen sokongan lain yang perlu ada seperti Penjenamaan, Kecekapan Urus Tadbir, Integriti, Pemberdayaan (Empowerment) dan Kepercayaan, Pengetahuan Kewangan, Kemahiran berinteraksi (People Skill) dan juga Pelaksanaan Dasar dan Arahan semasa.
“Perlaksanaan Sinergi UTM 4.0 ini juga memerlukan pentadbir kanan seperti Pendaftar supaya diberikan lebih kuasa dalam aspek perlaksanaan dasar dan juga urus tadbir universiti.
“Di peringkat fakulti pula, para Dekan diharapkan supaya memberikan lebih ruang kepada pentadbir seperti Penolong Pendaftar dan Timbalan Pendaftar memberikan nasihat dalam aspek urus tadbir fakulti,” katanya lagi.
Sesi riadah sehari itu telah dihadiri lebih 100 orang pentadbir kanan dan pentadbir akademik bagi semua Pusat-pusat Tanggungjawap (PTJ) seluruh UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur bagi membincangkan hala tuju universiti pada masa hadapan.