November 27, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Apr. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terutamanya dalam menyemai perasaan sayang pada alam sekitar untuk kelestarian generasi masa hadapan.

Terbaharu, UTM bersama Iskandar Malaysia bersinergi menjalankan program UTM-Iskandar Malaysia City Nature Challenge yang telah diangkat sebagai salah satu program utama di selatan Malaysia.

Program tersebut adalah bersempena dengan pelancaran “Global City Nature Challenge 2021 (CNC 2021)” di seluruh dunia pada 30 April – 3 Mei 2021 dan “Malaysia City Nature Challenge 2021 (MYCNC2021)” yang dianjurkan secara bersinergi melibatkan bandar-bandar utama seperti Ipoh, Pulau Pinang, Lembah Klang, Seremban dan Kuching.

Program ini dilancarkan hasil inisiatif objektif utama “Urban Biodiversity Challenge” yang bakal digunakan untuk memahami kepentingan kepelbagaian biologi bandar serta peranan pemegang taruh dalam memainkan peranan utama konservasi alam.

UTM sebagai institusi utama di Iskandar Malaysia bergerak aktif menyokong program konservasi dan telah bekerjasama secara strategik bersama Iskandar Malaysia menerusi pendekatan Makmal Hidup 8 (UTM Bio-Kepelbagaian).

Tujuan utama cabaran ini adalah mendokumentasi flora & fauna untuk inventori biodiversiti bandar, terutamanya untuk membantu menambahkan pangkalan data sedia ada Bio-Kepelbagaian UTM dan menyokong SDG-14 dan 15 berkaitan dengan “Life on Below Water” dan “Life on Land”.

Program ini bakal melahirkan saintis masyarakat yang akan menyumbang kepada ‘Living Lab UTM’ dengan hanya menggunakan telefon bimbit (dan iNaturalist apps), dan seterusnya mendokumentasi flora & fauna untuk tujuan inventori biodiversiti bandar, iaitu pangkalan data UTM Biodiversity (https://www.inaturalist.org/projects/utm-biodiversity) yang mana kesemua flora fauna yang dimuatnaik ini akan dapat diakses di seluruh dunia, terutamanya melibatkan pemetaan di UTM.

Kesemua foto-foto flora dan fauna yang dimuatnaik akan tersimpan di laman sesawang UTM Biodiversiti tersebut berdasarkan lokasi ianya dijumpai dan tersedia digunakan untuk pelabagai tujuan akademik, pelancongan dan sebagainya. Malah data tersebut boleh dimuaturun dalam bentuk data GIS untuk kegunaan hiliran.

Program ini digerakkan secara bersinergi antara Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Prof. Dr Rafee Majid dan Dr. Ak Mohd Rafiq Ak Matusin dengan Pusat Pelestarian UTM bagi membina pengetahuan dan aspirasi universiti dalam menyediakan data inventori yang membantu pelaksanaan pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar dalam kampus.

Prof. Dr Rafee Majid semasa sesi penerangan dan demo

Menurut Pengarah Pejabat Pelestarian, Prof Ir. Dr Mohd Fadhil berkata, kaedah ini akan menyediakan garis panduan pada masa hadapan tentang kepelbagaian bio di dalam kampus yang menjadi penanda aras kesejahteraan spesis yang wujud serta ekosistem yang membentuk pengetahuan alami mengenai perubahan persekitaran dalam kampus.

Prof Dr Rafee berkata, melalui usaha mengwujudkan pangkalan data ini kita akan dapat mengetahui dengan siapakah kita berkongsi alam kampus ini dan seterusnya meraikan kepelbagaian bio di dalam kampus dengan pembangunan dan pengurusan yang mengambil kira hal ini.

Pangkalan data yang lengkap boleh digunakan sebagai penanda aras kesejahteraan spesis yang wujud serta menggalakkan ekosistem pembelajaran yang mengambil berat tentang alam semula jadi kampus.

Beliau berharap semoga warga UTM termasuk juga pengunjung di UTM akan berminat dan membantu merekodkan segala spesis flora dan fauna menggunakan kaedah apps iNaturalist untuk meyumbang kepada pemantapan pangkalan data tersebut,

Antara pelajar yang menyertai program

“Harapan saya ialah untuk merekod sebanyak boleh flora fauna supaya kita tahu apa yang kita ada dan tahu sekiranya kita hilang sesuatu spesis, supaya seterusnya kita lebih berusaha untuk memelihara spesis-spesis lain pada masa hadapan.

Data ini boleh digunakan untuk tujuan akademik, pembelajaran serta untuk pelancongan selain bagi menambah ilmu pengetahuan dan mendekatkan diri dengan alam sekitar,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, semua data ini bakal digunakan dan dimuatnaik ke sebuah apps baharu yang sedang dibangunkan.

“Pada masa hadapan, pengguna apps ini akan dapat melihat sendiri dahulu pelbagai spesis yang ada di UTM melalui paparan seperti ‘trail’/ jejak yang pastinya akan lebih menarik minat lebih ramai untuk datang ke UTM sebagai sebuah kampus edupelancongan.

Prof. Dr Rafee Prof. Dr Rafee Majid memberi sedikit taklimat sebelum pelajar memulakan pengambilan gambar

Keperluan ini akan menjadi hub kajian baru, penelitian dan sumbangan tertentu bagi memberikan nilai tambah kepada kampus lestari, seterusnya mengiktiraf sumbangan Universiti di peringkat global,” kata beliau.

Program yang bermula 29 April 2021 merupakan gimik pelancaran setelah inisiatif serupa telah dilaksanakan oleh kumpulan pelajar diketuai oleh Prof Rafee dengan purata inventori semasa sebanyak 441 spesis yang telah direkodkan sekitar kampus, melibatkan hampir 300 pemerhati bebas yang telah membuat bancian.

Elemen ini telah memberikan impak segera kepada keperluan Universiti terutama melibatkan komitmen polisi pelestarian ke-10 sepertimana yang telah digazetkan pada 16 Ogos 2020.

Selain itu, program yang berlangsung selama 4 hari tersebut akan membantu kumpulan pelajar, staf dan kumpulan-kumpulan pencinta alam sekitar memahami kewujudan kepelbagaian spesis yang membentuk simbiosis bermanfaat antara keperluan alam, manusia dan hidupan liar di institusi pengajian tinggi

Keterangan lanjut boleh didapati melalui pautan berikut : https://fb.watch/5d_yjRy0Z9/

Explore More