November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Apr – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) telah ditandatangani bagi membolehkan perlaksanaan inisiatif penambahbaikan kebajikan pelajar.

Memorandum itu telah ditandatangani di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru dengan Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail mewakili UTM manakala PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ahmad Dasuki dalam ucapannya berkata memorandum ini dijalinkan bertujuan untuk memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dalam pembudayaan simpanan pendidikan kepada warga UTM melalui pelbagai inisiatif seperti pembangunan penjanaan endowmen UTM, promosi produk tabungan dan manfaat melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“Melalui memorandum persefahaman ini, kedua-dua pihak akan beroleh manfaat melalui pembudayaan penabungan SSPN yang akan dapat disemai kepada seluruh warga UTM serta usaha sama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencetus idea baharu bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan kepentingan penabungan.

“UTM merupakan Universiti Awam yang pertama memeterai MoU seumpama ini dan skop kerjasama yang menyeluruh ini bakal memberi impak yang positif dan signifikan kepada semua warga UTM,” katanya yang turut berharap bahawa MoU ini akan menjadi tanda permulaan kerjasama dua pihak yang akan memberi manfaat kepada seluruh generasi pada masa hadapan.

Menurutnya lagi, usahasama ini juga diharap mendapat sokongan padu dari Kementerian Pengajian Tinggi agar penglibatan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lain dapat dirancakkan untuk mencontohi UTM dalam hasrat menawarkan rangsangan strategik yang sama.

Sementara itu, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi mengalu-alukan cadangan kerjasama dengan pihak PTPTN dalam menawarkan skim perlindungan takaful komprehensif dan memberi manfaat kepada pelajar dan warga Universiti.

“Inisiatif untuk memberikan penghargaan dalam bentuk Insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada staf UTM pada Anugerah Citra Karisma juga bakal membolehkan pemupukan budaya menabung dalam kalangan staf UTM,” katanya lagi.

Sehingga Januari 2021, PTPTN telah membantu seramai 88,750 pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke UTM melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan. PTPTN kini membiayai seramai 5,874 pelajar UTM yang sedang aktif.

Sehingga Januari 2021, PTPTN telah membantu seramai 88,750 pelajar UTM melalui pinjaman pendidikan yang diluluskan. Statistik terkini mencatatkan seramai 5,874pelajar universiti ini yang sedang melanjutkan pengajian menerima pembiayaan oleh badan penganjuran pelajaran ini.

Pada majlis yang sama, seramai 16 pelajar cemerlang terpilih bagi sesi 2020/2021 menerima Biasiswa Endowmen UTM yang disampaikan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dengan disaksikan oleh wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port Berhad, Tuan Hj. Hermee Tahir.  Johor Port merupakan antara penyumbang Biasiswa Endowmen UTM.

Mulai tahun 2022, Biasiswa Endowmen ini akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN bagi menggalakkan budaya menabung dalam kalangan pelajar UTM.  Sejak pelancarannya pada 2011, biasiswa ini telah memberikan manfaat kepada seramai 355 pelajar dari keluarga kurang bermampuan.

Datuk Seri Dr. Noraini juga turut berkesempatan mengagihkan bubur lambuk tajaan PTPTN kepada 650 pelajar dan staf UTM.

Inisiatif ini adalah sebahagian Program Imarah Ramadan Bersama Pelajar IPT (IMRAN) yang dianjurkan PTPTN dengan kerjasama UTM dan Majlis Perwakilan Pelajar UTM.

Ketua Eksekutif PTPTN (duduk, kiri), Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Explore More