Disember 19, 2024

PONTIAN, 25 Mac – Kelab Kebajikan Staf Pejabat Hal Ehwal Korporat, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Galeri Seni Hujung Tanah Art Residency (HTAR) telah bersama-sama menceriakan komuniti di Kg Parit Hj Alias, Pontian dengan mencantikkan kawasan kampung melalui penyediaan pelbagai replika dan arca dengan elemen seni.

Melalui program yang dinamakan ‘Seni Untuk Masyarakat : CSR UTM untuk Komuniti Kg. Parit Hj. Alias’ tersebut, warga UTM telah menyediakan pelbagai hasil seni seperti papan tanda rumah, papan tanda jalan, lukisan mural dan lain-lain.

Replika dan arca yang dihasilkan tersebut akan diletakkan di sekitar kampung untuk menambah keceriaan dengan sentuhan seni yang menarik serta membantu dari segi penunjuk arah untuk kegunaan semua.

Program tersebut diadakan di perkarangan premis HTAR yang terletak di kampung tersebut melibatkan seramai 20 orang kakitangan Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) UTM dengan kerjasama penduduk komuniti di sana.

Dr Farhan Mohamed yang menjalankan tugas Pengarah Hal Ehwal Korporat berkata, aktiviti bertemakan khidmat masyarakat dengan elemen seni tersebut antara yang julung kali diadakan oleh mereka dan ini adalah salah satu pengalaman berharga untuk semua peserta.

“Antara aktiviti yang kami lakukan adalah merekabentuk papan tanda pelbagai guna.  Antara kegunaan papan tanda ini adalah untuk kediaman peribadi yang mengandungi nama dan alamat pemilik rumah.

Kakitangan HEK juga terlibat dalam mengecat dan merekabentuk papan tanda jalan bagi digunakan dalam kawasan kampung ini yang serba kekurangan dalam menerima kemudahan dari pihak berkuasa yang berkaitan,” kata beliau.

Dr Farhan (bertopi) semasa aktiviti mengecat mural bersama beberapa kakitangan Pejabat Hal Ehwal Korporat yang lain di Hujung Tanah Art Residency, Ayer Baloi, Pontian

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas menyempurnakan perasmian Program Seni Untuk Masyarakat : CSR UTM untuk Komuniti Kg Parit Haji Alias yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis Daerah Pontian, Ustaz Nurdin Ayub yang mewakili pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut Dr Farhan lagi, peserta tidak perlu membawa sebarang peralatan kerana kesemuanya disumbangkan oleh HTAR.

“Galeri seni ini telah pun mendapat pengiktirafan dari pelbagai pihak seperti Balai Seni Negara, agensi pelancongan Tourism Malaysia dan juga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kerajaan Negeri Johor atas aktiviti seni yang dijalankan.

Peserta dari UTM merakamkan kenangan di hadapan Hujung Tanah Art Residency

Kehadiran kami semua di sini memperkemaskan lagi konsep seni ini dengan menukarkannya kepada ‘Seni Untuk Masyarakat’ yang sekaligus dapat menyumbang kepada komuniti setempat melalui aktiviti seni seperti ini,” katanya lagi.

Pemilik HTAR, Fakhrul Zaman bin Mohamad Sambas (berbaju ungu) semasa memberikan penerangan tentang aktiviti yang perlu dilakukan

Beliau mewakili warga HEK, UTM turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penduduk Komuniti Kg Parit Hj Alias atas kerjasama yang diberikan.

Turut menyertai program ini ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan Media dan Komunikasi Korporat) HEK, Prof. Madya Dr Hadina Habil dan juga Pengerusi HEKMAH, Shahrul Hafiz Razak serta pemilik HTAR, Fakhrul Zaman bin Mohamad Sambas.

Peserta dari UTM menyediakan alamat dalam bentuk pelekat untuk ditampal di papan tanda kelak
Antara beberapa hasil yang telah disiapkan
Timbalan Pengarah (Pengurusan Media dan Komunikasi Korporat) HEK, Prof Madya Dr Hadina Habil (paling kiri) dan staf HEK menunjukkan papan tanda kediaman rumah penduduk setempat yang telah disiapkan.
Antara papan tanda yang menarik yang telah dihasilkan
Antara papan tanda alamat rumah yang dihasilkan
Lukisan mural ‘separa siap’ yang disediakan oleh peserta dari UTM

Explore More