April 28, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Masjid Sultan Ismail Universiti Teknologi Malaysia (MSIUTM) bakal meneruskan tradisi menyediakan juadah buka puasa seperti tahun-tahun sebelumnya kepada kira-kira 1,000 orang mahasiswa universiti

Pengarah Pusat Islam UTM (PIUTM), Prof. Madya Dr Aminuddin Ruskam berkata, ini merupakan sebahagian perancangan MSIUTM bagi pengisian aktiviti dalam bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Tabung Ihya Ramadan 1442H/2021 di Masjid Sultan Ismail.  Pelancaran disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Menurut beliau, universiti memerlukan sejumlah RM 210,000.00 dana bagi menampung kos berbuka puasa (iftar) bagi jumlah 1,000 orang mahasiswa sepanjang Ramadan 2021, oleh itu penubuhan Tabung ini diharapkan dapat menarik lebih ramai lagi penderma untuk menyumbang bagi menampung kos yang diperlukan.

“Kami amat memerlukan dana ini bagi menjayakan program semarak ramadan yang telah disusun sepanjang bulan yang mulia ini.

Sehubungan itu, setiap warga kampus adalah digalakkan menyumbang kepada tabung ramadan bagi sama-sama menjayakan program komuniti universiti ini,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, ihya ramadan ialah peluang terbaik kepada warga kampus dan komuniti sekitar untuk mencari keberkatan dengan membuat sumbangan bagi menjayakan program ini.

Sumbangan tidak semestinya banyak tetapi ada bagi membolehkan segala agenda yang telah dirancang dapat dijayakan disamping membina lebih saham akhirat untuk semua.

Selain iftar, wang ini juga akan digunakan bagi membiayai pelbagai lagi aktiviti semarak ramadan lain sepanjang bulan ramadan,” katanya lagi.

Selain wang tunai, pihak MSIUTM juga menerima sumbangan dalam bentuk bahan mentah seperti beras, daging dan sayuran.

Turut menghadiri majlis adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr Hamdan Hj Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan Pendaftar, Abdul Razib Hj Shahuddin.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail (tengah) memasukkan wang sumbangan ke dalam tabung Dana Ihya Ramadan 2021 UTM sebagai simbol pelancaran tabung itu di Masjid Sultan Ismail, UTM Johor Bahru pagi tadi. Tabung ini diwujudkan bagi tujuan perolehan dana bagi menjayakan program Ihya Ramadan 2021

Explore More