April 30, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Mac – Sebanyak 340 bungkusan yang mengandungi Cecair Sanitasi Tangan, Pelitup Muka dan beberapa barangan berupa cenderahati telah disumbangkan oleh Mentari Johor, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengkalan di negeri Johor Darul Takzim.

Sumbangan itu telah diserahkan oleh Pengerusi Mentari Johor, Nur Ain A. Rahman kepada wakil Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hj Dahari Hj. Derani yang mewakili Timbalan Naib Canselor (HEP), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.

Berucap selepas menerima sumbangan tersebut, Hj Dahari berkata UTM sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan kerjasama dengan pihak luar sebagai sebahagian usaha memasyarakatkan institusi itu.

“Kita sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama ataupun sumbangan daripada ataupun kepada pihak luar bagi menjalin hubungan yang lebih profesional dan konstruktif.

“Sumbangan ini akan kami gunakan khusus untuk diletakkan di blok-blok kuarantin bagi mahasiswa yang pulang dari kampung halaman masing-masing bagi menyambung semula pengajian di universiti ini,” katanya selepas menerima sumbangan itu dari Pengerusi Mentari Johor, Nur Ain A. Rahman di Blok H04, Kolej Tun Fatimah.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr Noor Mala Ibrahim, Pengetua Kolej Rahman Putra, Prof. Madya Dr Mohd Haizal Jamaluddin dan Pengarah Pusat Kesihatan UTM, Dr Nor’Ashikin Sharif.

Untuk rekod, seramai 340 orang mahasiswa sedang menjalani sesi kuarantin wajib selama 10 hari di blok-blok asrama kediaman pelajar di Kolej Tun Fatimah (KTF) dan juga Kolej Rahman Putra (KRP) sebelum dibenarkan kembali menyambung pengajian di UTM. Kuarantin wajib ini adalah syarat wajib yang diarahakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan dengan kepulangan mahasiswa kembali ke kampus masing-masing bermula pada 1 Mac 2021 yang lalu.

Wakil UTM, Hj Dahari Hj Derani (tengah) menerima sumbangan dari Pengerusi Mentari Johor, Nur Ain A. Rahman (paling kanan) dalam majlis ringkas di Blok H04, Kolej Tun Fatimah (KTF) UTM Johor Bahru semalam. Turut hadir adalah Pengetua Kolej Rahman Putra, Prof. Madya Dr Mohd Haizal Jamaluddin (kiri)

Explore More