November 22, 2024

Search
Close this search box.

UTM-JPNJ Anjur Program Semai Kesefahaman Guru dan Ibu Bapa dalam Mendepani PDPR Era Covid-19

Penulis bersama : Norazilah Md Tap

Johor Bahru, 16 Jan. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kursus Budi Penyayang dan Sekolah Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah mengadakan program motivasi secara dalam talian untuk menyemai permuafakatan guru dan ibu bapa dalam menangani cabaran mendepani pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Antara peserta yang mengikuti program secara dalam talian

Program Bicara Guru Siri 1/2021 yang bertemakan Cabaran Guru Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR): Permuafakatan Sekolah dan Ibu Bapa Dalam Mendepani Cabaran Norma Baharu tersebut mendapat sambutan amat positif dan memberangsangkan daripada golongan pendidik di mana capaian program secara dalam talian tersebut mendapat lebih 50,000 tontonan, 5,000 komen serta dikongsi sebanyak 1,100 kali.

Pengarah program, Wan Nur Aqilah Faqihah Wan Ahmad Yani berkata, dalam konteks pendidikan, Program Bicara Guru itu diisi dengan kupasan bagaimana permuafakatan antara sekolah, ibu bapa dan pelajar dapat menentukan keberkesanan proses PdPR secara maya dengan lebih efektif.

Beliau berkata, perkongsian berkenaan menitikberatkan kemahiran insaniah yang boleh diaplikasikan antaranya seperti aspek pengurusan konflik dan fungsi komunikasi yang baik.

Program Bicara Guru yang bersiaran secara langsung di laman Facebook rasmi JPNJ tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah JPNJ, Shaharuddin Saari.

Program Bicara Guru dirasmikan oleh Pengarah JPNJ, YBRS. Cikgu Haji Shaharuddin Bin Saari

Menurut Shaharuddin, program berkenaan adalah satu inisiatif untuk menyantuni keperluan guru-guru yang mungkin sedang mengalami tekanan dalam menguruskan pembelajaran atas talian.

“Menerusi program ini, peserta juga didedahkan dengan pelbagai teknik terutama bagi membantu ibu bapa melancarkan proses PdPR anak di rumah sekali.

Di samping itu, dapat membantu meningkatkan komunikasi yang lebih berkesan, selain perkongsian dalam menguruskan konflik guru dengan ibu bapa mahupun pelajar”.

Sesi Bicara Guru itu turut menampilkan moderator berpengalaman iaitu Cikgu Noorjahan Sultan yang merupakan Finalis 50 Anugerah Guru Global 2016 dan Ikon Guru Malaysia 2016.

Ahli panel dan moderator bagi program Bicara Guru

Turut tampil dalam forum tersebut adalah 2 panel jemputan iaitu Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib yang merupakan Finalis Top 50 bagi Anugerah Guru Berprestij, Global Teacher Prize 2020 dan Azizurahman Samian, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang juga Kaunselor Selebriti.

Menurut peserta program, Shazrizuliana Salimon dari Sekolah Kebangsaan Lukut, Port Dickson, beliau berasa sungguh teruja kerana berpeluang untuk mengikuti program berkenaan.

“Tajuk yang dikupas sangat menarik dan banyak manfaat yang diperoleh serta berguna terutamanya sikap keterbukaan ibu bapa dan guru mampu memecahkan tembok masalah dalam PdPR ini.

Ibu bapa dan guru perlu saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) UTM, Prof. Dr. Intan Zaurah Mat Darus pula menjelaskan penganjuran program tersebut adalah berkonsepkan kepada menyelesaikan masalah komuniti sasaran yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik dalam era baharu pandemik Covid-19.

“Diharapkan program ini dapat memberi peluang terutama kepada para guru dalam mendepani cabaran mendidik pada ketika ini dengan komitmen bersama dan peranan ibu bapa bagi membimbing pelajar supaya terus bersemangat meneruskan pembelajaran,” katanya.

Explore More