November 25, 2024

Search
Close this search box.

Seantero dunia pendidikan kini semakin mencabar dan kompleks. Sebarang perubahan dan perancangan perlu bersifat mudah ubah. Perubahan yang mendadak ini dilihat seakan mendesak pendidik untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menghadapi normal baharu demi menangani perubahan yang berlaku secara berkesan dalam memastikan matlamat dan agenda pendidikan dapat dilestarikan dalam tempoh PKP.

Anjakan paradigma bukan sahaja tertumpu kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), bahkan ianya memberikan cabaran kepada pendidik untuk mengukuhkan penstrukturan proses penilaian PdP yang dilaksanakan. Pelbagai isu dan cabaran timbul dalam melaksanakan tanggungjawab ini kerana penilaian yang dilaksanakan haruslah relevan untuk memastikan domain yang ingin dicapai dapat ditaksirkan.

Dalam dunia pendidikan pada hari ini, pentaksiran mesti melihat skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada pentaksiran yang menggunakan kertas dan juga pensel. Pentaksiran mesti dapat mengukur kemahiran yang lebih kompleks dan pengetahuan isi kandungan yang lebih mendalam dalam pembelajaran. Pentaksiran juga mesti dapat mengukur dengan tepat tahap pencapaian pelajar dan dapat menyediakan maklumat yang bermakna mengenai pelajar yang masih belum mencapai tahap pencapaian yang diharapkan.

Pentaksiran seharusnya menjadi sebahagian aktiviti yang bersepadu dan penting dalam aktiviti yang berlaku di dalam kelas dan bertujuan untuk meningkatkan prestasi pelajar dan memahami bagaimana pelajar mengetahui tentang sesuatu perkara. Walaubagaimanapun, pentaksiran prestasi dikatakan bersifat subjektif, maka ianya sangat bergantung kepada faktor-faktor individu.

Jika ditelusuri, peranan pendidik perlu berubah mengikut keperluan semasa yang dikenali sebagai zaman milenium atau alaf baharu. Pendidik perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek apabila berhadapan dengan dunia yang berubah-ubah agar dapat mengadaptasi apa jua keadaan. Ini termasuklah bagi penstrukturan dan penetapan dalam pentaksiran penilaian PdP dimana seharusnya ia menggunakan pendekatan yang fleksibel.   

Fleksibiliti melaksanakan tugasan menggunakan aplikasi digital adalah tren masa kini. Dengan keadaan sedemikian, pendidik rata-ratanya dilihat beralih arah dengan membuat perubahan dalam merangka penilaian tugasan dari bentuk bersemuka kepada bentuk digital. Ini termasuklah mereka yang mengfokuskan kepada penilaian dalam penguasaan domain psikomotor dimana pencapaian fizikal iaitu amali bagi kemahiran pelajar perlu dikenalpasti.

Walaubagaimanapun, pengekalan bentuk penilaian sedia ada masih boleh dikekalkan tetapi penghasilan outputnya diaplikasi dalam bentuk digital. Contohnya dalam subjek yang melibatkan amali, servis learning atau experiental learning seperti pengurusan kokurikulum, sukan dan permainan, kesenggangan dan kesedaran persekitaran dan sebagainya.

Pelajar perlu membuat projek khidmat masyarakat tetapi kengkangan akibat pandemik Covid-19 merencatkan perancangan awal. Langkah yang diambil untuk proses penilaian dapat dilaksanakan adalah dengan menjalankan projek khidmat masyarakat secara atas talian. Contohnya pelajar menganjurkan pertandingan video kawad kaki dalam kelompok kumpulan kecil di sekolah yang berhampiran dan menyediakan video serta ebook bahan yang berkaitan dengan persekitaran dan kesihatan.

Penghasilan bahan projek ebook

Menerusi projek mereka ini, mereka perlu menganjurkan pertandingan secara atas talian. Bukan itu sahaja, pengurusan projek diambil kira melalui aktiviti perkongsian maklumat untuk menyediakan bahan yang bersesuaian dengan pelajar sekolah sebelum pertandingan dianjurkan. Secara tidak langsung sifat kepimpinan sebagai mentor dapat diterapkan dimana penerapan sifat ini sangat diperlukan untuk meneraju alam pekerjaan kelak.

Proses penilaian seperti ini secara tidak langsung memberikan cabaran kepada pendidik untuk menyediakan rubrik yang bersesuaian untuk mencerap domain yang ingin dilihat. Selain itu, proses pembelajaran kepada pelajar dalam melaksanakan program dan jaringan dengan organisasi luar juga perlu dipantau dan dibimbing. Dengan perancangan dan perlaksanaan yang rapi seperti ini mungkin dilihat memberikan beban dan cabaran tetapi ini adalah proses yang seharusnya diterapkan bagi melahirkan generasi yang berimpak walaupun hanya secara maya.

Walaupun begitu, pendidik haruslah sentiasa cakna dengan perkembangan prestasi pelajar kerana penambahbaikan penting bagi setiap langkah dalam perjalanan transformasi yang bakal dilalui. Dan bahawasanya tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.

Pelaksanaan penilaian secara atas talian ternyata bukanlah sesuatu yang mudah malahan mengundang keresahan kepada para pendidik. Para pendidik juga memerlukan masa dan latihan yang secukupnya bagi mengendalikan penilaian seperti ini. Persediaan rapi perlu dilakukan memandangkan kaedah penilaian ini belum pernah ataupun jarang dilaksanakan dan sudah tentu menuntut masa dan tenaga, apatah lagi bagi mereka yang masih perlukan bimbingan dalam penerokaan teknologi alaf baharu.

Rentetan daripada permasalahan ini, soalan yang digunakan dalam penilaian secara konvensional sebelum ini belum tentu sesuai digunakan untuk penilaian secara atas talian, dan ini memerlukan kepada beberapa pengubahsuaian. Kesemua perubahan ini dalam masa yang sama perlu mengambil kira piawaian yang telah ditetapkan di samping memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai.

Justeru itu, sebagaimana yang diketahui walaupun penilaian secara atas talian dikatakan sebagai satu cabaran yang sukar tetapi ianya mustahil untuk dielakkan. Sebagai pendidik yang mempunyai landasan berfikir secara kontemporari, dengan kecanggihan teknologi yang sentiasa berevolusi, dijangkakan penilaian secara atas talian akan menjadi lebih mudah untuk diterapkan. Tuntasnya, jangan mudah putus asa untuk menjadi pendidik yang sentiasa multi kaliber dalam menerajui arus globalisasi masa kini dan benar pepatah mengatakan, pendidik terbaik adalah pengalaman dan pengalaman tidak pernah memberi teori.

Penilaian kemahiran secara atas talian

Penulis: Dr. Adjah Naqkiah Mazlan, Pensyarah Kanan (Sains Sukan), Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Explore More