November 28, 2024

Search
Close this search box.

24 mahasiswa antarabangsa UTM sertai Program Pertukaran Budaya KDSE

JOHOR BAHRU, 14 April 2018 – Seramai 24 orang mahasiswa antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai program pertukaran budaya bertempat di Kampung Sungai Nibong di daerah Batu Pahat, Johor.
Program ‘Cultural Exchange Programme via Building with Nature‘ anjuran Kolej Datin Seri Endon (KDSE) dengan kerjasama UTM International itu telah berlangsung selama tiga hari bermula dari 12 hingga 14 April 2018.
Pengarah Program, Siti Najwa Sharifah berkata program yang disertai oleh para peserta dari 8 negara itu adalah bertujuan mengetengahkan kebudayaan Malaysia khususnya budaya Melayu Johor di peringkat antarabangsa.
“Antara aktiviti yang dijalankan pada hari pertama program adalah explorace dan di sebelah malamnya peserta diberikan masa sendiri untuk beramah mesra dan keluar bersama-sama dengan keluarga angkat masing-masing,” katanya.
Para peserta telah dibahagikan kepada lapan buah rumah dan juga keluarga angkat masing-masing untuk tinggal bersama sepanjang program berlangsung.
“Hari kedua program dipenuhi dengan aktiviti lawatan ke Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Sg. Gersik, Rumah Keraton Embah Anang bagi melihat koleksi barang-barang antik yang diimport khas dari Indonesia.
“Para peserta juga dibawa melawat ke Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di mana peserta dapat melihat cara pembuatan mee siput dan kek kukus. Di sebelah petangnya pula para peserta diperkenalkan kepada permainan tradisional melayu seperti boling kelapa, batu seremban, congkak dan sepak takraw,” katanya.
Pada sebelah malamnya pula, peserta dihiburkan dengan acara Malam Kebudayaan di mana setiap kumpulan mempersembahkan nyayian lagu rakyat.
Selesai persembahan kumpulan, majlis diteruskan dengan persembahan dari wakil negara China, Vietnam, Nigeria dan Bangladesh.
“Pada hari terakhir pula para peserta dibawa melawat ke tempat penternakan kupang di Jeti Sg. Balang di mana para peserta menaiki bot dan menyelusuri sungai tersebut selama 45 minit bagi meninjau aktiviti penternakan kupang di kawasan tersebut,” katanya.
Peserta juga berpeluang merasai sendiri cara menuai kupang dewasa dan melihat hasil tangkapan nelayan selain menyaksikan hidupan laut lain seperti belangkas dan obor-obor serta mengutip buah nipah sebelum pulang semula ke kampus UTM Johor Bahru dengan menaiki bas universiti.
Pengetua KDSE merangkap Penasihat Program, Dr. Liza Md Salleh berkata pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan UTM International dalam menjayakan program ini.
“Kami berharap agar program sebegini dapat lagi dianjurkan pada masa hadapan dengan kerjasama UTM International.
“Ini kerana program sebegini dapat memberikan peluang yang luas bagi pelajar tempatan dan antarabangsa untuk bertukar-tukar pandangan mengenai adat resam masing-masing di samping memberikan peluang kepada warga pelajar antarabangsa ini untuk mengenal budaya masyarakat Malaysia dengan lebih sempurna,” katanya.
Antara yang menyertai program ini adalah peserta dari negara China, Nigeria, Turki, Vietnam, Myanmar, Syria, Jerman, Finland, France, Indonesia, Korea dan Bangladesh.

Para peserta yang menyertai program ‘Cultural Exchange Programme via Building with Nature‘ anjuran Kolej Datin Seri Endon (KDSE) dengan kerjasama UTM International bertempat di Kg. Sungai Nibong, Batu Pahat, Johor.

Explore More