November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 2 Jan. — Kelab Mahasiswa PEMADAM Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kursus Pendidikan Pencegahan Dadah (UKQF2392/UKQR2102) UTM dengan kerjasama UTM iLeaGue, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor, PEMADAM Negeri Johor, dan PEMADAM Kebangsaan telah menganjurkan Seminar Antidadah…’Kawan atau Lawan’?

Program ini telah dijalankan selama satu hari menerusi platform ‘Webex’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’.

Seminar Antidadah…’Kawan atau Lawan’? Peringkat Kebangsaan ini telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Yg. Bhg. Prof. Dr. Mohd Shafry Bin Mohd Rahim, Pengerusi Institut  Siswazah  Tersedia Kehidupan atau Institute for Life-Ready Graduate (UTM iLeaGue), Jabatan Timbalan Naib  Canselor  (Akademik  &  Antarabangsa) UTM.

Seminar ini diserikan oleh 12 orang mahasiswa/i sebagai pembentang.

11 daripadanya mewakili universiti awam dan swasta dari seluruh Malaysia dan seorang mahasiswa mewakili IPT antarabangsa iaitu University of Edinburgh, Scotland, United Kingdom. Daripada jumlah itu, 3 daripada 12 orang mahasiswa/i yang menjadi pembentang dalam seminar ini terdiri daripada ahli Kelab PEMADAM UTM sendiri.

Para pembentang seminar ini dibahagikan kepada 4 sesi pembentangan yang membincangkan topik yang berbeza. Pada setiap sesi pembentangan, 3 orang pembentang ditampilkan bagi membincangkan topik yang ditetapkan.

Program ini telah berjaya menarik minat mahasiswa dan mendapat sebanyak 2,000 tontonan secara dalam talian.

Para peserta yang menonton seminar ini terdiri daripada mahasiswa dan staf UTM, mahasiswa daripada IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan orang awam.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Webex’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Noornadirah beraksi sebagai Pengacara Majlis Seminar Antidadah…’Kawan atau Lawan’? Peringkat Kebangsaan.

Berdasarkan sumber daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), statistik Penyalah Guna Dadah dan Bahan sepanjang Januari hingga Jun 2020 menunjukkan bahawa, seramai 61,851 orang (64.8%) dalam kalangan golongan belia berumur 19-29 tahun telah dikenalpasti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini.

Daripada jumlah tersebut, didapati 3,664 orang (3.8%) merupakan golongan mahasiswa yang berada di pusat pengajian tinggi. Statistik ini adalah sangat membimbangkan kerana golongan mahasiswa inilah yang diharap akan menjadi generasi pelapis kepimpinan hari ini untuk memacu kemajuan negara pada masa akan datang.

Menyedari hakikat ini, Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dan Kursus Pendidikan Pencegahan Dadah (UKQF2392/UKQR2102) UTM telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama erat bagi menganjurkan seminar ini untuk meningkatkan kesedaran dan mengukuhkan ilmu pengetahuan tentang bahaya najis dadah, substan serta pelencongan sosial ini.

Selain itu, ia juga diharap dapat memberi panduan yang jelas kepada mahasiswa berkaitan cara terbaik untuk mengelak diri daripada terjebak dengan gaya hidup tidak sihat yang banyak mendatangkan kemudaratan ini.

Mahasiswa juga amat digalakkan untuk menjadi mata dan telinga komuniti yang memainkan peranan aktif dalam memberi teguran berhemah, menasihat rakan-rakan dan kaum keluarga terdekat atau jika tidak mampu, bersegera membuat laporan kepada pihak polis atau AADK bagi membendung penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial di kalangan masyarakat.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Webex’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Anis Munirah dari UiTM kampus Perlis, Pembentang Terbaik Sesi Pertama membuat pembetangan bertajuk ‘Faktor Risiko Dan Pelindung-Mengelakkan Mahasiswa Daripada Terjerat Penyalahgunaan Dadah’.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Webex’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Alissa Dalilah binti Dahlan (UTM JB), Pembentang Terbaik bagi Sesi Kedua dengan tajukKesihatan Mental Dan Kesihatan Fizikal. Katakan Tidak Kepada Dadah Dan Substan’ sedang melakukan pembentangannya.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Webex’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Noorazlinah binti Abd Kamis (UMS) Pembentang Terbaik Sesi Ketiga sedang melakukan pembetangan bertajuk ‘Strategi Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substan Dan Pelencongan Sosial Di Kalangan Remaja Dan Belia’.
Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Webex’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan Saudari Nabiha Khusairy , Pembentang Terbaik Sesi 4 sedang membentangkan hujahnya dengan tajuk ‘Ketagihan Dadah Sukar Untuk Diubati..Anda Pilih Anda Sengsara’

Kesimpulannya, Seminar Antidadah…’Kawan atau Lawan’? ini diharap dapat memberi impak positif terhadap pembinaan jati diri mahasiswa/i UTM dan seluruh IPTA dan IPTS di Malaysia dan juga mahasiswa di IPT luar negara.

Seminar ini secara tidak langsung telah berjaya menarik minat mahasiswa untuk melibatkan diri secara aktif dalam bidang Pendidikan dan Pencegahan Dadah bagi meningkatkan kesedaran belia dalam masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah, substan dan pelencongan sosial.

Explore More