November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU – Pada bulan November dan Disember 2020 yang lalu, Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM dengan kerjasama Pusat Kaunseling UTM, PEMADAM Negeri Johor dan PEMADAM Kebangsaan telah berjaya menganjurkan 3 siri webinar “IAMUSAHAWAN” secara di atas talian buat julung kalinya. Webinar ini dilaksanakan hasil cetusan idea Majlis Tertinggi Kelab yang mahukan Kelab Mahasiswa PEMADAM UTM terus aktif menganjurkan program-program berimpak tinggi dan bermanfaat buat semua ahli kelab yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UTM. Secara tidak langsung, program ini juga turut dapat dikongsikan manfaatnya kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi UTM dan komuniti yang mengikuti program ini di atas talian.

Pada 18 Mac lalu, kerajaan Malaysia telah memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap pertama secara menyeluruh akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia. Hal ini menyebabkan Kementerian Pendidikan telah mengarahkan semua universiti dan kolej untuk melaksanakan pembelajaran atas talian secara 100% bagi menggantikan kuliah bersemuka yang dipraktikkan selama ini. Sejak itu, semua mahasiswa UTM telah menjalani proses pembelajaran atas talian secara sepenuhnya yang merupakan satu norma baharu bukan sahaja di kalangan mahasiswa bahkan juga kepada semua para pensyarah dan pihak pengurusan universiti.

Peranan aktiviti ko-kurikulum adalah sama pentingnya dengan akademik dalam pembentukan mahasiswa cemerlang yang bersifat holistik. Justeru Kelab PEMADAM UTM tampil dengan inisiatif untuk menganjurkan program webinar “IAMUSAHAWAN” bagi mengisi masa luang ahli kelab dengan aktiviti berfaedah. Kejayaan program ini dapat dicapai melalui komitmen padu , kemuafakatan dan kerja keras semua ahli jawatankuasa program yang sedang melalui proses pembelajaran dalam talian (online learning) di rumah masing-masing.

Webinar “IAMUSAHAWAN” ini menampilkan penceramah di kalangan 3 orang usahawan muda iaitu Saudara Muhammad Ameruddin bin Mohd Roslin (UIA), Saudara Abu Hasaan Al Basri Bin Abd Malek (mahasiswa Ijazah Sarjana Kejuruteraan UTM) dan Saudara Mohd Baihaqi Bin Hasbullah (Alumni UTM). Barisan penceramah ini merupakan usahawan muda berjaya dan telah berjinak-jinak dalam bidang usahawan sewaktu masih dalam pengajian di universiti. Menerusi webinar ini, kesemua penceramah telah berkongsi ilmu dan rahsia kejayaan mereka dalam bidang keusahawanan yang diceburi dan boleh dimanfaatkan oleh para peserta di atas talian.

Program yang dilaksanakan secara atas talian di dalam Facebook Kelab PEMADAM UTM ini telah berjaya mendapat sebanyak 5.9 ribu tontonan . Para peserta yang telah mengikuti program atas talian ini terdiri daripada mahasiswa dan staf UTM, serta mahasiswa daripada IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dan juga orang awam.

Melalui program webinar “IAMUSAHAWAN” ini, ia diharap dapat membugar semangat mahasiswa untuk berani menceburkan diri dalam bidang usahawan secara kecil-kecilan terlebih dahulu di peringkat universiti. Ia juga diharap dapat melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mampu mengembangkan pelbagai potensi diri selain turut merangsang pemikiran kreatif dan inovatif melalui pendedahan pengalaman serta perkongsian kemahiran daripada penceramah jemputan yang telah menempa kejayaan dalam bidang perniagaan masing-masing. Setakat ini para penceramah bukan sahaja mampu mengembangkan perniagaan mereka bahkan dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada orang lain. Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu bidang alternatif kerjaya berpotensi besar selepas mahasiswa tamat pengajian kelak. Hal ini dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi pasca pandemik COVID 19 ini.

Webinar “IAMUSAHAWAN” Siri I yang telah dilaksanakan pada 7 November 2020, diserikan dengan kehadiran Saudara Muhammad Ameruddin bin Mohd Roslin, Ketua Bahagian Pembangunan Produk Cookies Most Wanted. Beliau menekankan bahawa mahasiswa yang berani menceburkan diri dalam bidang keusahawanan mampu membina karakter diri yang kuat dan sentiasa bersedia dalam mendepani apa jua cabaran. Mahasiswa perlu bijak membahagikan masa antara akademik, ko-kurikulum dan keusahawanan untuk memastikan mereka mempunyai peluang yang cerah untuk Berjaya.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan saudara Richman bertindak sebagai Moderator dan Muhammad Ameruddin bin Mohd Roslin, Ketua Bahagian Pembangunan Cookies Most Wanted selaku penceramah Webinar #IAMUSAHAWA Siri I.

Menerusi Webinar “IAMUSAHAWAN Siri II” yang diadakan pada 28 November 2020 pula, ia menampilkan Saudara Abu Hassan Al Basri bin Abd Malek, Pengarah Urusan InosighTech yang merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Kejuruteaan UTM . Melalui perkongsiannya, beliau menekankan aspek pembinaan matlanat yang jelas dan pengwujudan jaringan kerja yang berkesan oleh usahawan adalah penting untuk membina kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan saudari Alissa bertindak sebagai Moderator dan Saudara Abu Hassan Al Basri, CEO & Founder of Inosightech  selaku penceramah Webinar #IAMUSAHAWA Siri II.

Webinar “IAMUSAHAWAN” Siri III yang telah diadakan pada 6 Disember 2020  menampilkan Saudara Mohd Baihaqi Bin Hasbullah iaitu Pengarah Urusan, Pawsome Veterinary Team. Beliau merupakan Alumni UTM yang telah berjaya membina perniagaan Klinik Veterinar bersama isterinya, Dr Ain. Perkongsian beliau dengan topik The Happiness Equation In Entrepreneurship telah mendapat sambutan penyertaan yang sangat menggalakkan. Melalui perkongsian ini, beliau telah berkongsi 7 panduan untuk menjadi usahawan yang bahagia.

Tangkapan Skrin secara langsung menerusi platform ‘Streamyard’ yang dihubungkan kepada ‘Facebook Live’ menunjukkan saudari Nabiha bertindak sebagai Moderator dan Saudara Mohd Baihaqi Hasbullah, Pengarah Urusan Pawsome Veterinary Team  selaku penceramah Webinar #IAMUSAHAWA Siri III.

Kesimpulannya, Webinar “IAMUSAHAWAN” ini diharap akan memberi impak positif terhadap mahasiswa/i dan warga UTM seluruhnya. Webinar ini secara tidak langsung diharap dapat mengisi masa lapang mahasiswa UTM yang sedang belajar dari rumah untuk terus melibatkan diri dengan aktiviti ko-kurikulum berimpak tinggi. Ia juga diharap dapat menarik minat dan membugar semangat lebih ramai mahasiswa untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan pada masa akan datang.

Explore More