April 29, 2024

Search
Close this search box.

Hari Terbuka Pusat Pencegahan dan Persediaan Bencana / Sarjana Pengurusan Risiko Bencana 2018

Kuala Lumpur, 19 April 2018 – Pusat Pencegahan dan Persediaan Bencana (Disaster Prevention & Preparedness Center, DPPC), Malaysian Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama pihak Japan International Cooperation Agency (JICA) & Disaster Risk Management (DRM) SubCommittee Japanese University Consortium (JUC) telah mengadakan Hari Terbuka DPPC / Sarjana Pengurusan Risiko Bencana (Master of Disaster Risk Management, MDRM) 2018 buat kali yang ke- 3 pada 19 April 2018, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Hari Terbuka DPPC/MDRM 2018 ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Ali Selamat, Dekan, Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Program Hari Terbuka DPPC/MDRM 2018 ini bertujuan untuk berkongsi dan menyebarkan maklumat semasa dan terkini berhubung strategi dan pelaksanaan dalam pengurusan bencana terutamanya yang melibatkan sains dan teknologi. Sejumlah lebih daripada 400 peserta dari pelbagai latarbelakang kepakaran dalam pengurusan bencana telah mengikuti Program Hari Terbuka DPPC/MDRM 2018 yang berlangsung selama sehari. Peserta yang terlibat antaranya merupakan pembuat dasar, pemimpin organisasi, pasukan tindak balas bencana, sukarelawan dan penyelidik dalam bidang pengurusan bencana. Platform ini menjadikan medan utama untuk bertukar-tukar pendapat, berkongsi pengalaman dan hasil kajian serta menyediakan ruang pelebaran jaringan kerjasama antara mereka.

Sesi pagi Program Hari Terbuka DPPC/MDRM 2018 ini telah berjaya membawakan barisan pakar-pakar terkemuka dari dalam dan luar Negara untuk berkongsi dan menyampaikan ceramah berhubung pengurusan bencana.

Pada sesi petang pula, Program Hari Terbuka DPPC/MDRM 2018 telah berjaya mengadakan  perbincangan bersama sukarelawan bencana dalam keperluan pembangunan kapasiti pengurangan risiko bencana. Sesi ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan memberi fokus kepada tiga keutamaan penglibatan sukarelawan bencana, iaitu Fasa Persediaan, Fasa Tindak Balas, dan Fasa Pemulihan selepas bencana. Ianya secara tidak lansung mendokong usaha kerajaan selaras dengan pembentukan rasmi Majlis Sukarelawan Bencana NADMA yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Shahidan Bin Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 4 April 2018.

Dengan topik-topik penting dan menarik, serta bilangan pakar bencana yang ramai dalam pendidikan pengurusan risiko bencana dari seluruh pelusuk dunia, kesemuanya berada dalam satu tempat, sesungguhnya hari terbuka ini adalah satu acara yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja oleh para cendikiawan serta orang ramai yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Bencana di Universiti Teknologi Malaysia.

Prof. Dr. Ali Selamat berkata, bagi menyokong pembangunan perkembangan profesional seperti yang digariskan di dalam Malaysia Education Blueprint (2015-2025) & National Higher Education Strategic Plan (2007-2020) terutamanya di dalam pengurusan risiko bencana, kerajaan Malaysia dan Jepun di bawah  pengurusan Disaster Preparedness and Prevention Centre (DPPC), MJIIT, UTM Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan JICA bagi memulakan program pendidikan Sarjana Pengurangan Risiko Bencana (MDRM). Menurut beliau lagi, program pada hari ini adalah peluang yang harus dimanfaatkan. Ianya merupakan medan penting serta peluang untuk menyediakan sumber manusia yang berpengetahuan dan bersiap-siaga dalam menangani isu bencana alam.

Explore More