Persatuan Kakitangan Bukan Akademik UTM (PERKABA UTM) hari ini berkongsi rezeki dan telah menyumbang barangan berupa beras dan minyak masak kepada ahli-ahli PERKABA yang terkesan akibat COVID-19.
Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Bin Haji Ahmad di Foyer Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim secara Pandu lalu (Drive Thru).
Yang Dipertua PERKABA, Roslan Bin Abd. Ghani berkata PERKABA sentiasa prihatin dengan kebajikan ahli-ahlinya yang terkesan oleh pandemik Covid-19.
“Dalam majlis tersebut, ahli-ahli PERKABA terus ke kaunter pendaftaran bagi menyemak kelayakan sebagai ahli dan seterusnya mengambil sumbangan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Hamdan.
Untuk fasa kali ini, kira-kira 150 orang ahli yang berdaftar dan terkesan dengan COVID-19 telah memperoleh sumbangan dan bakinya lagi akan diberi pada masa hadapan,”kata beliau.
Menurut beliau lagi, selain bantuan tersebut, sumbangan wang tunai sebanyak RM200 turut diberikan kepada lima orang staf UTM yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.
“Dengan pelaksanaan program ini amatlah diharapkan agar persatuan kebajikan staf lain serta warga UTM khususnya staf yang berkemampuan untuk turut membantu dan menghulurkan bantuan kepada yang amat memerlukan,” tambah beliau.