April 26, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Penyerahan Projek Subcritical Water- Waste Management System

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Menggunakan Teknologi Air Subkritikal yang pertama di Asia.

Sistem itu yang ditadbir Malaysia-Japan Advanced Research Centre (MJARC) adalah projek pemindahan teknologi di antara Malaysia dan Jepun bernilai RM25 juta yang disokong Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata fasiliti UTM-MJARC mempunyai dua reaktor air subkritikal perintis yang bertindak sebagai mesin kitar semula yang unik.

Katanya, sistem ini mampu menukar hampir kesemua jenis sisa pepejal termasuk sisa perbandaran, enap cemar, sisa haiwan serta ternakan, sisa perubatan dan biomas.

“Reaktor air subkritikal ini boleh menjadi ejen perubahan dalam pengurusan sisa pepejal di negara ini kerana ia adalah alternatif yang mesra alam berbanding penggunaan tapak pelupusan sampah konvensional dan insinerator.

“Kedua-dua reaktor perintis sistem ini masing-masing bersaiz dua meter kubik yang menggunakan sumber air pada suhu bawah 200 darjah Celsius dan tekanan sebanyak dua megapascal (Mpa).

“Kedua-dua fasiliti ini mampu memproses empat tan metrik sisa pepejal dalam satu jam. Kemudahan ini juga boleh beroperasi tanpa henti berdasarkan penggunaan dan pemprosesan sisa pepejal tanpa melepaskan sebarang gas beracun serta dioksin ke alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Sistem Pengurusan Sisa Pepejal Menggunakan Teknologi Air Subkritikal di UTM Kampus Pagoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings Sdn Bhd, Ahmad Kamil Kushairi; Pengurus UTM-MJARC, Dr T Pramila dan Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau UTM-MJIIT, Prof Madya Koji Iwamoto.

Sumber: Berita Harian

Explore More