November 26, 2024

Search
Close this search box.

Pemakluman Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Di UTM Johor Bahru, UTM Kuala Lumpur, dan UTM Pagoh Berkuat Kuasa Mulai 3 Januari 2021

Pemakluman ini adalah berdasarkan pengumuman oleh  Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 28 Disember 2020 mengenai pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Johor Bahru sehingga 14 Januari 2021. 

  1. Peratusan Kehadiran ke Pejabat dan Berkerja Dari Rumah (BDR)

Pihak pengurusan UTM mengekalkan arahan sebelum ini iaitu peratus minimum staf hadir ke pejabat ialah 75% manakala peratus maksimum staf BDR ialah 25% sahaja daripada jumlah keseluruhan staf di suatu pusat tanggungjawab (PTJ). Ketetapan ini adalah merangkumi staf Pengurusan Profesional & Pelaksana (PPP) dan staf akademik.

Sehubungan itu, staf akademik dikehendaki mula hadir bertugas di kampus mulai 3 Januari 2021. Mana-mana staf yang ingin BDR hendaklah mendapatkan kelulusan daripada Ketua Jabatan terlebih dahulu. Staf perlu membuat permohonan BDR melalui Portal Web UTM (my.utm.my) atau melalui aplikasi UTMSmart bagi membolehkan staf merekod kehadiran melalui GPS Check-In/ Out dengan turut merekodkan di dalam sistem iHadir

  1. Zon Merah

Staf yang berada di Zon Merah masih lagi tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan berdasarkan Pemakluman Pejabat Hal Ehwal Korporat pada 8 Disember 2020 yang lalu.

  1. Staf (yang bukan dari Essential Services) dari Mukim Zon Merah Yang diarahkan datang bekerja

Staf dari Mukim Zon Merah dan terdapat kes 1 km dari kawasan kediaman yang dikehendaki hadir bekerja oleh Ketua PTJ, perlu membuat permohonan hadir bekerja melalui aplikasi UTMSmart.

Ketua PTJ perlu memastikan PEMATUHAN SOP yang ketat dan bertanggungjawab terhadap sebarang RISIKO berkaitan arahan tersebut.

  1. Bekerja Dari Rumah (BDR) selain daripada Zon Merah

Penetapan 25% staf yang boleh bekerja dari rumah tidak lagi mengambil kira masalah penjagaan anak. Ketua Jabatan atau Penyelia perlu membuat penilaian terhadap keperluan kritikal untuk BDR.

Ketetapan ini tidak terpakai kepada staf kategori perkhidmatan perlu (Essential Services). 

  1. Deklarasi Kesihatan (HDF)

Peraturan pengisian Deklarasi Kesihatan (HDF) setiap empat (4) hari adalah dikekalkan.

  1. Pematuhan SOP di tempat kerja

Ketua PTJ perlulah memastikan SOP PKPB dilaksanakan sepenuhnya oleh setiap staf di tempat kerja. Unit OSHE PTJ perlu digerakkan untuk memastikan pematuhan SOP di PTJ dan kawasan dalam UTM. Pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal. 

  1. Pemakluman berkala

Pemakluman ini disediakan oleh Jabatan Pendaftar dan berkuatkuasa berterusan kerana PKPP juga telah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2021. Sebarang perubahan dan keputusan universiti juga tertakluk kepada pemakluman berkala dan SOP terkini daripada JPT, MKN dan KKM.

Semua warga UTM  adalah sentiasa diingatkan untuk mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan dan peka terhadap sebarang pemakluman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa. 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Hal Ehwal Korporat
2 Januari 2021

Explore More