November 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Ziarah Sahabat UTM Prihatin beri manfaat kepada 39 keluarga staf

Sebanyak 39 keluarga staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima manfaat dari Program Ziarah Sahabat UTM Prihatin anjuran Pusat Islam UTM.

Program yang berlangsung dari bulan Julai hingga November 2020 itu telah dijayakan menerusi peruntukan zakat dan kebajikan sebanyak RM9,500.00 di bawah kelolaan Pusat Islam UTM.

Penolong Pengarah Pusat Islam UTM, Dr Naemah Hamzah berkata para penerima adalah terdiri daripada 21 orang staf, lima pasangan staf, 10 orang keluarga staf, dua orang awam dan seorang pesara UTM.

“Bagi penerima kategori staf, kriteria penerimaan adalah kakitangan yang menghidapi penyakit kronik dan sukar untuk bergerak. Untuk ahli keluarga pula, penerima yang disyaratkan mestilah terdiri dari ibu bapa atau anak-anak staf yang sakit kronik dan terlantar serta mestilah berada di dalam jagaan staf berkenaan,” tegasnya lagi.

Selain bantuan kewangan, staf juga diberikan penerangan secara teknikal dalam aspek perlaksanaan ibadah ketika sakit untuk memberikan ketenangan dan kemudahan semasa proses rawatan.

Dr Naemah berkata setiap penerima bantuan diberikan sebanyak RM200.00 sebagai bantuan rawatan kesihatan di samping kit pesakit yang dimuatkan dengan botol semburan air wuduk, debu tayamum dan panduan solat pesakit.

“Mesej program ini adalah menyampaikan bantuan berkonsepkan mesra ibadah yang memberi ruang pelawat untuk merisik khabar pesakit di samping menunjuk ajar tentang perlaksanaan solat dalam keadaan pesakit sedang diuji dengan kesakitan masing-masing.

“Kebanyakan dari pesakit yang diziarahi menghidapi penyakit strok, kerosakan saraf, darah tinggi, kencing manis, pembedahan jantung, kemalangan jalan raya dan kanser,”katanya lagi.

Selain Pusat Islam, lawatan juga turut disertai oleh Sahabat UTM Prihatin yang terdiri dari Bahagian Pembangunan Organisasi(BPO), Badan Kebajikan Staf (BAKES), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS), Persatuan Kakitangan Bukan Akademik (PERKABA), Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan UTM Marshall.

Menurut Dr Naemah lagi, program ini akan diteruskan pada tahun akan datang dengan menggunakan peruntukan zakat dan kebajikan pusat itu.

“Insyallah kita akan meneruskan lagi usaha ini di masa akan datang dengan menggunakan peruntukan zakat dan kebajikan Pusat Islam UTM. 

“Ini bagi membolehkan sumbangan wang zakat ini dapat diagihkan dengan lebih berkesan kepada golongan asnaf yang sememangnya memerlukannya,” katanya lagi.

Dr Naemah Hamzah (dua kanan) menyampaikan Kit Pesakit (dalam beg biru) yang dimuatkan dengan botol semburan air wuduk, debu tayamum dan panduan solat pesakit ketika menziarahi seorang staf UTM yang diserang dengan penyakit jantung.
Beberapa pesakit lain yang terdiri dari staf UTM yang menerima kunjungan Sahabat UTM Prihatin anjuran Pusat Islam universiti itu.

Explore More