November 25, 2024

Search
Close this search box.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan inisiatif UTM Prihatin apabila menyumbangkan sebanyak 40 unit komputer riba kepada pelajar kurang berkemampuan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sumbangan ini disalurkan secara penghantaran ke rumah berikutan pelajar tidak dapat mengambil bantuan komputer riba di kampus induk Johor Bahru atas faktor isu pergerakan perjalanan ketika PKPP dan PKPB serta kos yang tinggi yang harus ditanggung oleh pelajar untuk datang ke UTM.

Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof Madya Dr Yusof Boon berkata, Unit Endowmen bersama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) telah berusaha melaksanakan amanah keputusan pengurusan Universiti bagi menyantuni 40 orang pelajar UTM yang terdiri daripada golongan B40 yang menghadapi masalah kemudahan komputer bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara atas talian yang sedang berlangsung, sama ada melalui webex, google meet dan sebagainya, dari kediaman masing-masing.

Sumbangan 40 unit komputer riba bernilai RM115,000.00 adalah menggunakan sebahagian dana sumbangan orang ramai yang telah berjaya dikumpulkan dalam Tabung Khas COVID-19 UTM yang dilancarkan pada Mac – Jun 2020.

Pengarah Endowmen, Prof. Madya Dr Yusof Boon menyampaikan komputer riba di kediaman pelajar di sekitar Tangkak, Batu Pahat, dan Kulai Negeri Johor.

Terbaharu, sebanyak tiga buah kenderaan digunakan oleh Skuad HEP Prihatin yang disertai 11 orang petugas telah bergerak ke tiga (3) zon utama untuk mengedarkan komputer riba kepada penerima Komputer Riba UTM.

Sebanyak 22 komputer riba telah diserahkan mengikut pecahan zon di mana petugas dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut zon yang telah ditetapkan iaitu zon timur, zon utara dan zon tengah.

Program selama dua hari tersebut merupakan inisiatif HEP dalam membantu pelajar UTM yang terpilih dalam melancarkan proses pembelajaran mereka secara dalam talian di rumah masing-masing.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada para penyumbang, sama ada individu atau syarikat, UTMDigital, Unit Endowmen, Bahagian Pemajuan Jabatan TNC (Pembangunan), Jabatan TNC (Hal Ehwal Pelajar) dan seluruh warga UTM.

Skuad HEP Prihatin semasa sesi serahan komputer riba kepada salah seorang pelajar. Kredit photo : Mohamad Nur bin Idris
Skuad HEP Prihatin semasa sesi serahan komputer riba kepada salah seorang pelajar. Kredit photo : Mohamad Nur bin Idris
Salah seorang pelajar bersama komputer riba yang diterimanya. Kredit photo : Mohamad Nur bin Idris

Explore More