November 22, 2024

Search
Close this search box.

Jun 2020 mencatat kejayaan indah kepada dua penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila berjaya memperoleh Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) dalam usaha untuk membantu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan golongan B40 terutamanya di Johor.

Dua penyelidik tersebut adalah dari Fakulti Kejuruteraan UTM iaitu Prof Madya Dr Anwar bin Johari dan Prof. Madya Dr. Liza binti Md Salleh.

Dr Anwar akan menjalankan Program Penternakan Pintar Udang Kara Air Tawar yang akan melibatkan 36 orang peserta di Negeri Johor dan tambahan 6 orang peserta dari Perak manakala Dr Liza akan menjalankan Program Pengeluaran produk Nenas Bernilai Tinggi melalui Kaedah Mesra Alam dan akan melibatkan seramai 40 orang peladang kecil di sekitar Johor.

Dana ini merupakan salah satu inisiatif yang dibangunkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selari dengan Agenda Nasional Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan sebagai sokongan kepada inisiatif terkini kerajaan iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).  

Penyelarasan projek ini akan dibantu oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN UTM) sebagai urus setia Dana DPUB.

Prof. Madya Dr. Liza Md Salleh dan En Nazib Suliman, pegawai Teraju menunjukkan hasil nenas yang ditanam oleh pesertanya

Sebagai permulaan, sesi lawatan ke setiap tapak projek bagi peserta yang dipilih telah dilaksanakan bermula awal November bagi melihat kesediaan peserta dan kesesuaian lokasi projek.

Pelaksanaan kedua-dua projek ini diharapkan dapat membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) sebagai jalan alternatif untuk mempertingkatkan pendapatan seisi keluarga di mana kebanyakan golongan B40 adalah dari golongan penduduk kampung yang hanya bergantung kepada hasil tanaman, ternakan dan kerja sambilan yang lain.

Salah seorang peserta bagi Projek “Pengeluaran Produk Nenas Bernilai Tinggi melalui Kaedah Mesra Alam”
Bersama salah seorang peserta “Projek Penternakan Pintar Udang Kara Air Tawar” di Kg Pulai, Gelang Patah.

Explore More