April 29, 2024

Search
Close this search box.

UTM-Yayasan Bandaraya JB anjur Mini Karnival STEAM

JOHOR BAHRU, 25 Januari 2018 – Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Ismail (PSI), Yayasan Bandaraya Johor Bahru (JB), Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan Kelab Sukan & Rekreasi Komuniti Parlimen Johor Bahru telah menganjurkan Mini Karnival STEAM.

Tan Sri Shahrir (dua kanan) dan Prof. Muhammad Sukri Saud (tiga kiri) melihat pameran di Karnival Mini STEAM di Perpustakaan Sultan Ismail (PSI), Larkin Johor Bahru.

Mini Karnival Pangajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering), Kesenian (Arts) dan Matematik itu telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad di bangunan PSI Larkin, Johor Bahru.

Program yang julung kali diadakan itu membabitkan seramai 330 pelajar sekolah menengah dan rendah sekitar daerah Johor Bahru, 70 orang mahasiswa Fakulti Pendidikan dan 30 pensyarah dari Fakulti Pendidikan dan Akademi Bahasa UTM.

Penyelaras Mini Karnival STEAM, Marlina Ali berkata, program itu dirancang untuk meningkatkan minat pelajar terhadap matapelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan (Engineering) dan Matematik (STEM).

“Penerapan elemen STEAM merupakan lanjutan daripada konsep asal iaitu STEM dengan penambahan elemen Kesenian dalam paduan ini.

“Inisiatif ini sejajar dengan hasrat negara yang telah mengariskan matlamat meningkatkan nisbah pengajian Sains:Sastera daripada 42:48 kepada nisbah 60:40 menjelang 2020 di samping menghidupkan semula peranan perpustakaan sebagai wadah pembinaan dan pengembangan ilmu pengetahuan masyarakat,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, antaranya pameran Kelab Suka Belajar Fakulti Pendidikan UTM seperti Chef Cilik, Fun Learning with Technology, STEMazing & MOOCs, Science Wizard, MyLinE and Storybird, Build Your Own Battery, Matematik Rimba dan Junior Gardener.

“Program dan aktiviti secara hands-on yang telah diadakan diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang celik minda dan mencintai ilmu pengetahuan.

“Selain berfaedah kepada masyarakat, penglibatan mahasiswa UTM dalam menjayakan program ini juga dapat memberikan peluang kepada mereka untuk bergaul rapat dengan komuniti dan secara tidak langsung terlibat sama dalam pemindahan ilmu pengetahuan yang berguna kepada masyarakat,” katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Komuniti dan Jaringan) Fakulti Pendidikan, Prof. Madya Dr. Muhammad Sukri Saud.

 

Explore More