Rebut Peluang Terokai Inovasi Daging Kultur Halal
Jumaat, 9 Oktober 2020
Peningkatan jumlah penduduk dunia sangat ketara, khususnya selepas mencapai angka 1 bilion pada tahun 1830 buat kali pertama. Selepas itu, jumlah ini terus meningkat sehingga mencapai angka 7 bilion pada tahun 2014 dan dijangka melepasi angka 10 bilion pada tahun 2050. Peningkatan ini telah menyebabkan permintaan makanan meningkat secara mendadak. Sebagai contoh, bilangan lembu yang disembelih untuk sektor pemakanan meningkat dari 2.1 bilion ekor pada tahun 1950 kepada 4.4 bilion ekor pada tahun 1990. Begitu juga dengan tangkapan ikan yang meninggat sebanyak 4.4 kali ganda pada tempoh masa yang sama. Permintaan daging yang menjadi sumber protein kegemaran penduduk dunia juga meningkat. Menurut perkiraan yang dibuat boleh Food and Agriculture Organization, penggunaan perkapita daging pada tahun 1960-an hanyalah 10kg setahun. Angka ini telah meningkat kepada 26kg setahun pada tahun 2000 dan dijangka mencecah 37kg setahun pada tahun 2030.
Daging Kultur sebagai Alternatif
Justeru, para saintis dan pemain industri pemakanan telah memulakan langkah mencari alternatif bagi memenuhi permintaan, khususnya sumber protein. Antara produk diperkenalkan adalah daging kultur. Daging kultur mula mendapat perhatian dunia sebagai salah satu alternatif ‘daging konvensional’ yang diperolehi melalui penternakan dan penyembelihan lembu atau kambing selepas Prof. Mark Post, seorang saintis dari Belanda memperkenalkan daging kultur ini kepada dunia. Beliau telah melakukan siaran langsung proses memasak dan mencuba daging kultur burger tersebut, bertempat di Riverside Studios pada 3 Ogos 2013. Disebabkan perkembangan yang sangat rancak dalam kajian daging kultur, beliau telah menjemput penulis untuk berkongsi sudut pandang Islam terhadap daging kultur ini dalam 5th International Scientific Conference on Cultured Meat pada 6 hingga 8 Oktober 2019. Hal ini kerana, beliau melihat peluang yang sangat besar dalam pasaran daging halal dunia.
Daging kultur adalah satu produk daging yang dihasilkan di dalam makmal atau bioreaktor dengan cara membiakkan sel tunjang di dalam medium kultur. Justeru, proses menghasilkannya tidak melibatkan pembiakan dan penternakan lembu. Malah, kos penghasilan boleh menjadi lebih efisen dan jimat kerana kos pengurusan najis, tanah dan air boleh diminimumkan selain mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Sejarah Ringkas
Hakikatnya, idea penghasilan daging kultur ini pernah diutarakan oleh Fredick Edwin Smith pada tahun 1930 apabila salah seorang dari kawannya, Alexis Carrel, seorang saintis, berjaya memastikan sel jantung ayam kekal ‘hidup’ di luar badan ayam untuk suatu tempoh tertentu. Pada tahun 1932, Winston Churchill yang pernah menjadi Perdana Menteri United Kingdom, telah membuat ramalan mengenai penghasilan daging haiwan secara berasingan dari badan haiwan tersebut. Ramalan tersebut boleh dilihat di dalam buku beliau, Fifty Years Hence. Pada tahun 2002, Benjaminson telah berjaya mengkulturkan tisu otot ikan emas. Kajian beliau ini dibiayai oleh National Aeronautics and Space Administration (NASA) sebagai salah satu dari sumber makanan kepada para angkasawan tanpa perlu membawa makanan mentah bersama-sama mereka dari bumi.
Peluang baharu untuk diterokai
Pada bulan Julai lepas, KFC telah mengumumkan akan bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Rusia untuk menghasilkan daging kultur. Ia menunjukkan bahawa syarikat multinasional sudah mula melihat peluang dan masa depan yang cerah bagi teknologi daging kultur ini. Disebabkan perkembangan yang memberangsangkan ini, penulis berpendapat bahawa negara Islam sepatutnya mengambil peluang ini untuk melakukan kajian dan seterusnya mempelopori industri daging kultur halal. Penulis juga mencadangkan supaya kerajaan Malaysia memperuntukan bajet untuk kajian ini. Hal ini kerana, negara jiran kita, Singapura sudah memperuntukan sejumlah nilai yang besar untuk kajian dalam bidang ini. Penulis juga telah dijemput pada 11 Ogos lepas untuk berkongsi maklumat dengan beberapa syarikat start up di bawah kendalian Big Idea Venture dari Singapura tentang aspek halal dalam proses menghasilkan daging kultur ini. Malah, Shiok Meat, sebuah syarikat start up dari Singapura telah meletakkan target untuk memperkenalkan daging kultur dari udang ke dalam pasaran pengguna seawal tahun 2021. Peluang ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana pasaran industri halal mempunyai nilai yang sangat besar, iaitu sekitar USD 2.3 trilion. Peningkatan populasi masyarakat Islam di peringkat dunia juga meningkat lebih tinggi berbanding masyarakat bukan Islam, seterusnya menjadikan pasaran halal semakin besar.
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.