November 27, 2024

Search
Close this search box.

Seramai 3,499 orang mahasiswa baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi akademik 2020/2021 mengikuti Program Orientasi ‘Minggu Mesra Mahasiswa’ (MMM) 2020 secara dalam talian (online) sepenuhnya.

Jumlah ini terdiri dari 3,322 orang mahasiswa tempatan peringkat Ijazah Sarjana Muda yang bakal mengikuti pengajian di UTM kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur dan juga seramai 177 orang mahasiswa antarabangsa yang berasal dari 19 buah negara di serata dunia.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MMM 2020 UTM, Muhammad Amirul Ismail berkata program orientasi ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian susulan arahan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) yang mengarahkan semua Universiti Awam (UA) menangguhkan pendaftaran secara fizikal.

“Pelaksanaan program orientasi melalui kaedah dalam talian sepenuhnya ini adalah pertama kali dilakukan dalam sejarah penubuhan UTM dan agak mencabar buat saya dan kesemua 32 orang krew pelaksana.

Pada awalnya kami agak kekok untuk melaksanakannya namun dengan kerjasama pelbagai pihak dalam UTM, insyallah kami akan melakukannya sebaik mungkin,” katanya ketika diwawancara di Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM.

Menurutnya lagi, program MMM sesi 2020/2021 ini berjalan selama empat hari bermula 11 Oktober hingga 14 Oktober 2020.

Muhammad Amirul berkata program yang bermula seawal jam 6.30 pagi ini menampilkan pelbagai segmen yang berfaedah untuk diikuti oleh seluruh mahasiswa baharu yang bakal menyambung pengajian di UTM.

“Antara yang dimasukkan segmen sokongan kewangan, kebajikan pelajar dan juga pinjaman pelajaran oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), taklimat dan pendaftaran kursus serta penerangan ringkas berkenaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian dan juga pembelajaran elektronik (e-learning).

Mahasiswa juga berpeluang untuk mengikuti sesi bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor dan juga bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Dr. Durrishah Idrus,” katanya lagi.

Sesi bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor

 

Sesi bersama YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail dalam bentuk dialog bersama krew MMM sebagai moderator

 

Sebahagian pelajar yang mengangkat ikrar secara langsung semasa sesi bersama YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail

Sesi bersama Prof. Fauzi telah berlangsung pada 14 Oktober 2020 di mana semua mahasiswa baharu mengangkat sumpah sebagai pelajar universiti secara dalam talian di bawah Akta Universiti Kolej Universiti 1971.

Para mahasiswa juga berpeluang untuk mengikuti sidang video bersama dengan Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM (HEK) di samping taklimat berkenaan dengan keselamatan dengan Bahagian Keselamatan dan juga bersama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Ketua Pegawai Operasi (COO) MMM 2020 UTM, Muhammad Amirul Ismail bersiaran secara langsung Facebook Live dari Pusat Kepimpinan Akademik UTM (UTMLead).
Sesi Facebook Live bersama UTMiLeague – Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus ( Pengarah Academic & Experience Learning (CAEL) )
Sidang FB Live bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Durrishah Idrus.
Sesi FB Live bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang menjalankan fungsi Naib Canselor

Explore More