April 28, 2024

Search
Close this search box.

UTM terima 1000 benih pokok hutan

Tan Sri Dr. Salleh menyiram pokok Cengal sebagai simbolik pelancaran program myTREEvolution UTM sambil dibantu oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan) Pertanian Johor, Azreen Basir.

JOHOR BAHRU, 22 Februari 2018 –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima sumbangan 1,000 benih pokok hutan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor untuk ditanam di dalam kawasan kampus.

Pengarah Kampus Lestari UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Fadhil Md. Din berkata, sumbangan itu bagi menjayakan projek MyTREEVolution untuk mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan budaya gaya hidup lestari dalam kalangan warga kampus.

Menurutnya, projek itu adalah inisiatif Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam usaha menangani isu alam sekitar,  terutama pencemaran  melalui proses perbandaran dan pelepasan karbon dalam skala yang besar ke udara.

“Program ini mampu merealisasikan hasrat UTM bagi mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan budaya gaya hidup lestari dan sihat dalam kalangan warga kampus menerusi pelancaran terbaharu program Car-Free Day 2.0 (CFD 20) iaitu penanaman pokok bertemakan “Plant, Conserve and Cares”.

“Antara pengisian CFD 2.0 adalah perlaksanaannya telah ditingkatkan daripada 72 jam setahun kepada 180 jam, melebihi sekali ganda daripada keperluan semasa untuk membudayakan gaya hidup lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di majlis pelancaran program MyTREEvolution di Bangunan Pejabat Harta Bina UTM Johor Bahru.

Majlis Pelancaran itu disempurnakan oleh Pro-Cancelor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor dengan menanam pokok Cengal.

Turut hadir adalah Pengarah Kerja UTM, Prof. Dr. Roslan Amirudin dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pertanian Negeri Johor, Azreen Basir.

Dr. Mohd Fadhil berkata, satu inisiatif bersepadu telah digerakkan menerusi perlaksanaan program CFD yang bermula pada tahun 2016 bertujuan mengurangkan jejak karbon sehingga 30 peratus menjelang tahun 2020.

“Hasil kajian yang dilakukan menunjukkan secara purata trafik dalaman UTM telah menyumbang sebanyak 3.62 metrik tan karbon dioksida per kapita setahun iaitu 24 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas karbon di UTM.

“Ini adalah berdasarkan purata kenderaan, terutama kereta dan motosikal yang berulang-alik di dalam kawasan kampus setiap hari yang mencecah sehingga 1,250 buah,” katanya.

Beliau berkata, menerusi penjenamaan semula program CFD 2.0  pada tahun 2018, beberapa pengisian bagi menyokong aktiviti 3R (Reduce, Reuse and Recycle) dengan kerjasama SWM Environment dan Unit Lanskap PHB UTM diperkenalkan.

Antaranya, Gotong Royong Perdana, berbasikal di dalam kampus, penggunaan kenderaan elektrik, pengurangan tenaga elektrik dan penanaman semula pokok.

Beliau berkata, perkara itu dilakukan kerana UTM berpendapat program berimpak tinggi harus lebih realistik dengan sasaran yang lebih komprehensif, penglibatan warga kampus lebih meluas serta membantu memahami pendekatan Kampus Rendah Karbon secara holistik.

“Promosi besar-besaran secara mingguan atau bulanan mengenai penanaman pokok akan dimulakan dan sukarelawan akan digerakkan untuk memberi penerangan mengenai pelan sifar sisa, kempen penjimatan tenaga secara berterusan dan laporan berimpak rendah kampus,” katanya.

 

 

 

 

Explore More