April 30, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima sumbangan zakat daripada pihak Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebanyak RM40,000.00 pada 8 September 2020.

Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail yang dilantik menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UTM bagi mewakili UTM oleh Ustaz Haji Mohd Nazri Chik, Pengurus Besar Hubungan Strategik BIMB.

Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Zakat dan Kebajikan) Pusat Islam UTM, Amir Irsyad Saim berkata sumbangan zakat ini akan disalurkan kepada mahasiswa yang berkelayakan bagi meringankan beban kewangan mereka.

“Wang itu adalah hasil daripada kutipan aktiviti perniagaan BIMB sepanjang tahun 2019 dan diserahkan kepada UTM sebagai zakat perniagaan bagi membantu asnaf-asnaf yang memerlukan di dalam kampus ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai bentuk bantuan yang diberikan, Amir juga berkata bahawa bantuan sebanyak RM600.00 secara ‘one-off’ akan diberikan kepada mahasiswa beragama Islam yang kurang berkemampuan iaitu daripada kategori B40.

“Bantuan juga dipanjangkan kepada staf yang memerlukan bantuan kewangan dan mana-mana persatuan pelajar yang menganjurkan aktiviti bermanfaat serta bebas maksiat.

Mana-mana mahasiswa daripada kategori B40 yang ingin memohon bantuan zakat boleh mengisi borang atas talian di portal pelajar MyUTM dan permohonan ini sseterusnya akan diteliti. Sekiranya permohonan tersebut berjaya, wang RM600.00 akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing,” katanya lagi.

Bagi staf yang memerlukan bantuan zakat pula boleh datang ke Unit Zakat di pejabat Pusat Islam UTM yang terletak di tingkat bawah Masjid Sultan Ismail (MSI). Bantuan untuk kakitangan universiti akan diberikan terus kepada pemohon secara tunai.

“Penerima-penerima bantuan zakat ini juga diwajibkan oleh Pusat Islam untuk mengikuti kelas panduan mengenai aspek-aspek kerohanian dan juga kehidupan beragama yang baik.

Ini kerana kami mahu memastikan bahawa setiap penerima bantuan zakat ini bukan hanya menerima bantuan kewangan tetapi mereka juga menerima pendidikan kehidupan yang lengkap dan mantap dari segi kerohanian,” katanya lagi.

Ustaz Hj. Mohd Nazri Chik, Pengurus Besar Hubungan Strategik BIMB (kiri) menyerahkan cek sumbangan wang zakat perniagaan BIMB bagi tahun 2019 berjumlah RM40,000.00 kepada YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail sebagai yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTM.

Explore More