November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Ogos – Hampir 1,000 buah nombor pendaftaran khas Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terjual sejak dari pelancarannya pada 2 Disember 2019 yang lalu dengan melibatkan perolehan sebanyak RM1.6 juta.

UTM telah diperuntukkan sebanyak 10,000 unit nombor pendaftaran khas melalui perjanjian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk menjual kesemua nombor itu dalam tempoh tiga tahun bermula Disember 2019.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad di majlis penutup Konvoi Merdeka UTM 2020 yang berlangsung di Dapur Lesung, Yayasan Warisan Johor, UTM menyasarkan kutipan lebih RM15 juta menerusi jualan berkenaan bagi mengisi dana Tabung Endowmen.

“Sebanyak 1,000 unit nombor telah terjual dan ada baki sebanyak 9,000 nombor lagi yang perlu dijual dalam masa dua tahun akan datang mengikut jangka masa yang diberikan oleh JPJ.

Bidaan tertinggi adalah bernilai RM100,000.00 dengan kesemua nombor pendaftaran khas berkenaan bukan sahaja dibeli staf, pelajar dan alumni UTM malah dibuka kepada orang awam di seluruh negara.

Bagi menarik pembeli, UTM turut menawarkan diskaun sempena merdeka antara 25 peratus dan 50 peratus mengikut kategori staf, pelajar, alumni serta orang awam mulai 1 Ogos lepas hingga 16 September depan,” katanya.

Prof. Hamdan juga berkata bahawa pelbagai promosi akan digiatkan UTM untuk mencapai sasaran jualan berkenaan termasuk menerusi program Konvoi Merdeka yang dilakukan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Konvoi Merdeka UTM 2020, Prof. Hamdan berkata program ini dianjurkan dengan matlamat utamanya iaitu menyemarakkan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara dan juga mengukuhkan hubungan antara UTM dan alumninya.

Program yang dianjurkan dengan kolaborasi Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar ini telah disertai oleh pemilik kereta dan motosikal yang bernombor pendaftaran khas UTM.

Konvoi yang bermula di Padang Kawad UTM telah melalui beberapa lokasi termasuk Dewan Raya Gelang Patah dan Kota Iskandar sebelum berakhir di Dapur Lesung,Yayasan Warisan Johor.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Yang Berhormat Tuan Haji Mazlan Bujang, Pengarah Yayasan Warisan Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim dan Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr Wahid Omar (kiri) meletakkan bendera di kenderaan sebagai simbolik pelancaran Konvoi Merdeka UTM 2020 di Padang Kawad UTM. Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad (kanan).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Prof. Hamdan Ahmad (empat kiri hadapan) bergambar bersama peserta Konvoi Merdeka UTM 2020 di hadapan Dapur Lesung, Yayasan Warisan Johor.

Explore More