Penulisan oleh: Prof. Ir. Ts. Dr. Zainuddin bin Abd Manan
Sempena Sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-63, izinkan saya untuk menyampaikan mesej yang saya beri tajuk ‘Pejuang-Pejuang Kemerdekaan Sepanjang Zaman’.
Siapakah yang saya maksudkan dengan pejuang-pejuang Kemerdekaan Sepanjang Zaman?
- Bila di sebut “Merdeka”, mungkin yang terus terlintas di fikiran kita adalah para perajurit dan pahlawan yang berperang membebaskan watannya. Para aktivis politik yang berjuang untuk memerdekakan tanah air dari penjajah juga adalah antara pejuang kemerdekaan. Negara dan rakyat amat terhutang budi atas jasa serta pengorbanan perajurit serta aktivis politik yang telah berjuang membebaskan negara dari cengkaman penjajah.
Namun, setelah negara merdeka, tiadakah lagi pejuang kemerdekaan?
- Bagi saya, ada sekumpulan masyarakat yang merupakan pejuang kemerdekaan bukan saja di masa merdeka, malah sepanjang zaman.
Berbekal misi yang tulus dan jelas, diperkasa amanah dan integriti, golongan pejuang kemerdekaan sepanjang zaman ini bagi saya adalah mereka yang berjuang memerdekakan atau membebaskan manusia dari kegelapan kepada cahaya.
- Mereka ini, sebagaimana yang dinyatakan dalam Al Quran, adalah dari kalangan orang-orang yang beriman dan berilmu yang Allah angkat darjatnya.
“Allah meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadilah : 11)
- Mengenai ayat di atas, diterangkan dalam Tafsir Ibn Kathir bahawa Imam Ahmad telah meriwayatkan bahawa Umar bin Al-Khattab (khalifah Islam yang kedua) telah bertanya kepada Amir Mekah,
“Siapakah yang telah anda lantik sebagai Penolong bagi (mengatur urusan) penduduk di lembah itu (Mekah)”.
Amir berkata, “Aku telah melantik Ibn Abza, seorang daripada hamba-hamba yang telah kita merdekakan sebagai penolongku”.
Umar berkata lagi, “Engkau telah menjadikan seorang hamba merdeka sebagai Amir mereka semasa ketiadaanmu?!”.
Amir menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, dia telah menghafaz Kitab Allah dan dia mempunyai ilmu mengenai harta pewarisan di samping berupaya menjadi seorang hakim yang berwibawa”.
Kata Umar, “Sungguh, Nabimu telah bersabda, “Sesungguhnya Allah mengangkat darjat suatu kaum kerana kitab ini (al-Quran) dan merendahkan kaum lainnya dengannya” [HR Muslim].
- Hadis ini sesungguhnya menerangkan mengenai keutamaan dan ketinggian orang-orang yang berilmu dalam Islam. Tidak kira bangsa, harta mahupun latar belakang (walaupun hamba sahaya), mereka layak dijadikan pemimpin dengan ketinggian ilmu dan taqwa (amanah dan integriti).
6. Dalam Sunan Abu Daud pula ada diriwayatkan bahawa Abu Ad-Darda berkata,
“Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa meniti jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkannya jalan ke syurga.
Sungguh, para Malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan dan tanda hormat kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimintakan maaf oleh penduduk langit dan bumi hingga ikan yang ada di dasar laut.
- Kelebihan seorang alim (berilmu) di bandingkan dengan ahli ibadah seperti keutamaan rembulan pada malam purnama atas seluruh bintang. Sebagaimana yang dinyatakan, mereka adalah pejuang sepanjang zaman yang membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya.
- Para ulama adalah pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanya mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya maka ia telah mengambil bahagian yang banyak”.
Secara bahasa, ‘ulama merupakan bentuk jamak kepada kata ‘alim yang bererti orang yang berilmu.
- Rasulullah S.A.W juga telah bersabda,
“Sesungguhnya perumpamaan ‘ulama di bumi adalah seperti bintang-bintang di langit yang memberi petunjuk di dalam kegelapan bumi dan laut. Apabila dia terbenam maka jalan akan kabur” [HR Ahmad].
Sifat ‘ulama yang sejati, pertamanya, ia akan sentiasa menyatakan kebenaran.
Kedua, ‘ulama itu sentiasa berjuang di atas jalan kebenaran serta sentiasa memberikan nasihat terhadap para pemimpin.
Ketiga, para ‘ulama adalah mereka yang tabah dan sabar menghadapi segala macam tentangan dan halangan, demi memperjuangkan misi kebenaran untuk kepentingan umat dan bukannya untuk membela kepentingan peribadi.
Warga akademia sekalian; Soalan saya:
- Kalaulah penuntut ilmu dan ulama adalah mereka yang dipandang tinggi dan dikategorikan pejuang sepanjang zaman,
Agaknya ada atau tidak, golongan yang tidak kurang mulia [usahanya dan amal ikhlasnya] dari ulama dan orang berilmu ini? Kalau ada, siapakah dia?
- Jawapan saya ialah, Muallim (guru atau pendidik), dan mereka yang bersama-sama muallim ini di mana segala usaha dan kehidupannya ditumpukan untuk mendidik dan menghasilkan para ulama, ilmuan, pemimpin, teknologis, cendiakawan tanah air.
- Jelas bagi saya, tidak lain dan tidak bukan, para akademia iaitu pasukan dan masyarakat pendidik yang akan melahirkan ulama adalah antara pejuang-pejuang kemerdekaan yang terpenting dari awal sehingga akhir zaman.
- Samada kita sedar atau tidak, para pendidik yang berusaha beramal ikhlas dengan niat yang tulus dan betul untuk melahirkan ulama dan cendiakawan juga adalah merupakan mereka yang disifatkan sebagai bintang yang menerangi malam yang gelap.
Kita sebagai para akademia memikul tanggungjawab untuk merdekakan diri dan masyarakat dari dibelenggu kejahilan, mengeluarkan masyarakat dari kegelapan yang membawa kepada cahaya.
Kita adalah golongan yang diberi tanggungjawab besar memasyarakatkan budaya mencari dan mempelajari ilmu, mengamalkan dan menyampaikan ilmu yang kita pelajari sehingga ia bermanfaat kepada orang lain.
- Dalam hal memanfaatkan ilmu, suka saya mengingatkan kita semua akan maksud sepotong hadis yang masyhur iaitu tentang tiga perkara yang mana manusia akan terus dapat menikmati amal solehnya walaupun selepas ia meninggal dunia:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
“Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.”
(Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
- Saya melihat bahawa teras kepada hadis ini untuk kita mencapai ketiga-tiga perkara ini adalah berpusat dari sikap menghargai ketinggian ilmu, ulama serta mereka yang berilmu.
Dengan cintakan ilmu, kita boleh membina kehidupan yang baik seperti menambah pendapatan dan harta yang digunakan untuk membawa manfaat kepada keluarga, masyarakat dan ummat sejagat.
Dengan cintakan ilmu, kita juga akan lebih berpengetahuan dan beretika untuk merdekakan diri dari harta.
Dengan cintakan ilmu, kita akan dapat merdekakan keluarga, bangsa dan tanah air dari kemunduran, dan membina negara yang makmur.
Dengan cintakan ilmu kita akan dapat merdekakan diri dari kelemahan dan kekurangan (limitations).
- Pepatah inggeris ada mengatakan
Necessity (keperluan mendesak) is the mother of invention (rekacipta dan inovasi).
Dalam cabaran getir COVID-19, tuhan yang mendatangkan cabaran kepada kita, sekaligus telah mewujudkan keperluan (Necessity) untuk kita mengatasi segala cabaran dengan keistimewaan akal, daya pemikiran dan kreativiti sebagai khalifah di muka bumi ini.
- Dengan wujudnya keperluan mendesak ini (dire necessity) kita telah tabah berjuang mendepani cabaran dengan penuh kecekalan (resilience), terus beradaptasi dan berinovasi demi kelangsungan perjuangan menerangi ummah sejagat, sekaligus menyahut cabaran mendepani necessity dengan pelbagai invention.
- Kita sentiasa menghadapi pelbagai cabaran dalam memberi akses kepada umat manusia untuk menuntut ilmu, seterusnya menawarkan penyelesaian kepada pelbagai rintangan mahupun alasan dalam menuntut ilmu iaitu melalui pelbagai inovasi. Antaranya,
- Bagi yang beri alasan sudah tua; Sejak lebih 25 tahun, UTM telah wujudkan peluang belajar sepanjang hayat melalui UTMSPACE.
- Bagi yang mengatakan tiada kesempatan untuk belajar kerana bekerja; UTM telah permudahkan untuk belajar bila-bila masa melalui kelas-kelas pesisir, dan kini, kaedah belajar berdikit-dikit.
- Bagi yang tiada kelulusan, namun telah bekerja sekian lama? UTM telah mudahkan kemasukan menerusi APEL (acquired prior experiential learning) dan microcredit untuk mengiktiraf pengalaman yang mereka ada.
- Bagi yang tiada upaya fizikal, atau sukar untuk menghadiri kelas kerana tinggal jauh dari pusat pengajian? UTM telah memudahkan akses kepada bahan pembelajaran untuk mereka belajar secara dalam talian dan jarak jauh.
- Bagi yang tidak pasti apa yang relevan untuk dipelajari? UTM juga telah mencipta serta memperkenalkan kursus-kursus baharu berasaskan kemahiran yang relevan kepada masyarakat dengan kerjasama pihak luar.
- Sahabat seperjuangan saya sekelian;
Ayuh kita bersama-sama berganding bahu untuk terus-menerus menerajui dan mempelopori usaha memerdekakan bangsa, tanah air dan ummah sejagat dengan memudahkan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat, yang fleksibel dan memungkinkan anyone, to learn anything, anywhere, at anytime!
- Semoga Tuhan permudahkan perjuangan kita dalam memasyarakatkan budaya cintakan ilmu dalam misi kita melahirkan para ulama, ilmuan, pemimpin, teknologis, cendiakawan tanah air yang akan menjadi bintang-bintang yang bergemerlapan di langit.
Semoga Tuhan juga memberi kita ketabahan dalam mengharungi segala cabaran, badai dan taufan COVID-19 dalam perjuangan kita, dan semoga segala usaha kita diberkatiNya sehingga menjadi syafaat bagi kita di akhirat kelak.
Selamat menyambut kemerdekaan negara yang ke 63 pada 31 Ogos 2020.