November 26, 2024

Search
Close this search box.

Hargai Nilai Kemerdekaan Melalui Khidmat Terbaik – Prof. Kassim Thukiman

JOHOR BAHRU – Semua kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah digesa untuk memberikan khidmat pada tahap yang terbaik sebagai salah satu cara untuk menghargai nilai kemerdekaan negara.

Gesaan ini dibuat berteraskan hakikat bahawa pendidikan tinggi merupakan benteng terakhir yang mampu untuk mencorakkan pembinaan sesuatu negara bangsa itu ke arah pembudayaan ketamadunan yang tinggi.

Mengulas mengenai kenyataan ini, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Kassim Thukiman berkata semangat ini perlu diterapkan dalam diri setiap staf UTM memandangkan pendidikan tinggi adalah benteng terakhir dalam membentuk modal insan yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara yang lebih bertamadun.

“Setiap ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sini mengharapkan kita untuk membentuk anak itu dengan ilmu pengetahuan yang tinggi di samping mendapatkan perkhidmatan sokongan terbaik sepanjang mereka menuntut di sini.

Perlu diingat bahawa UTM mendapat peruntukan tahunan sebanyak RM480 juta setahun bagi membiayai kos operasi universiti ini dan wang ini diperolehi dari wang cukai rakyat. Maka dengan itu perlu disedari bahawa amanah yang dipikul amat berat dan tidak seharusnya dipandang ringan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara ringkas dengan wartawan Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) sejurus selepas memberikan ceramah dalam sesi Bicara Sejarah Kemerdekaan yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru pada 17 Ogos 2020.

Menurutnya lagi, staf juga dituntut untuk menghayati semangat murni ini melalui empat Nilai Teras (Core Values) yang telah ditetapkan iaitu Integriti, Kecemerlangan, Sinergi dan juga Kelestarian dalam melaksanakan tugasan harian.

Menghuraikan keempat-empat nilai ini dan kaitannya dengan semangat kemerdekaan, Prof. Kassim berkata nilai murni seperti integriti wajib dihayati dan dipegang dengan eratnya oleh staf ketika bertugas.

“Integriti ini merujuk kepada amanah, berdisiplin dan berpendirian teguh. Tanpa nilai ini, pastinya pentadbiran dan juga perjalanan harian universiti akan terganggu serta memberikan peluang kepada pihak luar untuk mencampuri dan merosakkan reputasi baik UTM.

“Melihat kepada kecemerlangan pula, setiap staf haruslah menunjukkan kecemerlangan yang tinggi kerana ini akan melibatkan profesionalisme dan juga imej baik yang dipaparkan kepada komuniti luar,” katanya.

Menurutnya lagi, UTM menjadi salah satu universiti yang tersohor di seluruh dunia pada hari ini kerana kecemerlangan kakitangannya dalam lapangan akademik dan juga penyelidikan.

“Setiap staf juga seharusnya mengamalkan sikap sinergi bagi menghasilkan yang terbaik. Ini kerana kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa sesuatu yang terhasil dari kerjasama atau kolaborasi biasanya lebih baik berbanding kita melakukannya sendirian.

“Sebagai contoh dalam hal ini, UTM sebagai sebuah universiti pasti tidak akan dapat menjadi pusat penyelidikan terunggul sekiranya tidak bekerjasama dengan universiti atau industri luar yang berperanan sebagai pusat rujukan dalam menghasilkan tenaga kerja yang amat diperlukan oleh negara,” katanya lagi.

Kini, universiti ini juga mengamalkan polisi lestari dalam segala aspek pentadbirannya bagi mengelakkan pembaziran dan juga penggunaan sumber yang lebih optimum.

 

Prof. Dr. Kassim Tukiman (empat kanan) bersama kakitangan UTM mengibarkan Jalur Gemilang selepas selesai menyampaikan ceramah dalam sesi Bicara Sejarah Kemerdekaan yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim,  UTM Johor Bahru.

 

Explore More