November 25, 2024

Search
Close this search box.

KOTA ISKANDAR – Institut Siswazah Tersedia Kehidupan Universiti Teknologi Malaysia (UTM iLeaGue) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor akan bekerjasama rapat dalam membangunkan Program Makmal Komuniti UTM-Benut (UTM-Benut Community Laboratory).

Program yang didasari oleh pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar iaitu pembelajaran servis dan penyelidikan akan memberikan fokus kepada enam komponen utama ekosistem pembangunan masyarakat iaitu keusahawanan-tekno, eko-pelancongan, sosial dan pendidikan, agro-komuniti, holistik belia dan komuniti digital.

Ketua Program, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus berkata pembelajaran servis adalah kaedah pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat komuniti bagi memberikan pembelajaran yang progresif kepada pelajar di samping menyelesaikan permasalahan sebenar dalam komuniti berteraskan kasih sayang, kebahagiaan dan hormat menghormati.

“Seramai 90 orang pelajar yang mengambil subjek Kokurikulum Pembelajaran Servis akan terlibat pada setiap semester dan program yang akan berjalan selama tiga tahun secara keseluruhannya ini akan melibatkan lebih dari 500 orang mahasiswa.

“Program ini dilaksanakan secara berfasa di mana Fasa Satu akan memberikan tumpuan untuk menghasilkan profiling masyarakat Benut yang telah mula dilaksanakan bermula 1 Ogos 2020 menggunakan peruntukan UTM PGU III sebanyak RM 10,000.00 dan diketuai oleh Dr. Robiah Bte. Suratman” katanya.

Fasa Dua pula menfokuskan kepada Pembangunan Makmal Komuniti UTM – Benut yang meliputi seluruh daerah Benut dengan memberi tumpuan kepada komponen keusahawanan-tekno, eko-pelancongan, sosial dan pendidikan, agro-komuniti, holistik belia dan komuniti digital bermula pada September 2020.

“Melalui konsep strategi ‘Local Champion – Back to Community’, pelajar-pelajar UTM serta alumni yang tinggal di Mukim Benut akan digalakkan untuk terlibat sama dalam usaha kumpulan penyelidikan projek ini,” katanya lagi.

Menurut Prof. Intan lagi, Fasa Tiga seterusnya akan melibatkan proses pemindahan pengetahuan daripada universiti kepada masyarakat tempatan Benut bagi menjamin kelestarian projek yang telah dijalankan.

Fasa Dua dan Fasa Tiga ini akan melibatkan peruntukan sejumlah RM250, 000.00 di mana sebanyak RM150, 000.00 telah disumbangkan oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir Jasni Mohammad semasa satu sesi taklimat ringkas oleh delegasi UTM yang berlangsung di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar pada 4 Ogos 2020 manakala baki selebihnya yang diperlukan akan disumbangkan oleh agensi lain yang terlibat.

“Program Makmal Komuniti UTM-Benut adalah bertepatan dengan teras strategik dan nilai teras universiti dalam mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam aspek akademik malah penyelidikan dalam menerajui komuniti demi kemakmuran, kelestarian dan kesejahteraan kehidupan sejagat,”katanya lagi.

Antara ahli yang terlibat dalam program ini adalah Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim, Puan Robiah Suratman, Dr. Nor Fadila Mohd. Amin, Encik Mohd. Fauzi Abd. Rahman dan Encik Mohd. Rashid Abd. Rahup.

 

Prof. Dr. Intan Zaurah (dua kanan) ketika menghadiri sesi taklimat berkenaan projek makmal UTM di Benut di Pejabat Menteri Besar Johor. YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Jasni Mohammad (dua kiri) mendengar penerangan yang diberikan dengan penuh teliti.

Explore More