JOHOR BAHRU, 11 Ogos – Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menjejaskan banyak pihak antaranya ialah pelajar yang perlu menjalani pembelajaran secara atas talian. Bagi seseorang pelajar, kemudahan asas seperti komputer riba adalah penting bagi mengekalkan prestasi pembelajaran yang baik terutamanya semasa jauh dari kampus universiti yang menyediakan pelbagai fasiliti.
Dengan memandang serius perkara ini berikutan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara atas talian yang akan berterusan sehingga akhir tahun, pihak Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memperuntukan sebanyak RM150,000 daripada lebih kurang RM450,000 jumlah keseluruhan hasil kutipan Tabung Khas Covid-19 untuk menyediakan 40 buah unit komputer riba kepada 40 orang pelajar UTM yang kurang berkemampuan atau tergolong dalam keluarga B40.
Pihak Endowmen UTM seterusnya telah memanfaatkan pentas Majlis Bersama Naib Canselor dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2020 UTM di Dewan Sultan Iskandar untuk melaksanakan simbolik penyerahan bantuan komputer riba oleh Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar kepada para pelajar tersebut.
Menurut salah seorang pelajar yang menerima bantuan tersebut iaitu Amala a/p Ravi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, bantuan komputer riba ini amat membantu dalam memudahkan aktiviti pembelajarannya kerana selama ini beliau hanya mampu untuk menaip tugasan pembelajaran melalui telefon bimbit sahaja.
Manakala menurut seorang lagi pelajar yang menerima bantuan iaitu Mohamed Ridzuan bin Abdul Salam dari Fakulti Alam Bina dan Ukur pula adalah beliau adakalanya terpaksa keluar rumah untuk ke siber kafe dalam keadaan persekitaran yang masih berisiko kerana wabak Covid-19 demi menyiapkan tugasan pembelajaran yang diberikan kepadanya.
Tidak semua pelajar mampu untuk memiliki komputer riba dan bantuan yang diusahakan ini ternyata dapat memberi manfaat kepada para pelajar dengan membantu aktiviti pembelajaran mereka yang terbatas sebelum ini.
Semasa sesi penyerahan bantuan komputer riba ini, hanya empat pelajar dari sekitar negeri Johor sahaja yang hadir sebagai wakil berikutan keadaan pandemik Covid-19 semasa yang tidak menentu. Kesemua unit komputer riba untuk penerima yang lain telah disediakan dan pihak Endowmen UTM sedang berusaha untuk menyerahkannya dengan kaedah yang terbaik.
Menurut Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof bin Boon, manfaat bantuan komputer riba ini adalah berpanjangan dan berterusan kerana ianya adalah pinjaman di mana ia seterusnya akan diserahkan kepada pelajar lain pula yang memerlukan pada masa hadapan selepas penerima sekarang ini telah mampu untuk memiliki komputer riba sendiri.
Bantuan atau sumbangan di bawah penubuhan Tabung Khas Covid-19 ini bukan sahaja memenuhi keperluan komputer riba pelajar malahan terdapat juga kategori bantuan lain antaranya seperti RM200 kepada para pelajar untuk membantu capaian internet mereka yang tinggi untuk aktiviti pembelajaran.
“Penubuhan Tabung khas Covid-19 ini telah membuka ruang dan peluang bukan sahaja kepada warga UTM malah masyarakat luar untuk terlibat sama dalam usaha mengumpul dana demi membantu para pelajar yang memerlukan,” ujar Dr. Yusof.