November 25, 2024

Search
Close this search box.

Syarikat Usahawan Pelajar UTM Bantu Petugas Barisan Hadapan Covid-19

JOHOR BAHRU – Sigma Maker Enterprise atau dikenali sebagai Sigma3DMaker adalah merupakan syarikat usahawan yang diuruskan oleh pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kejuruteraan Elektrikal.

Mereka telah menggunakan Teknologi Percetakan 3D dan bahan Do-It-Yourself (DIY) dalam penyediaan pelindung muka untuk petugas barisan hadapan seperti pihak hospital, klinik, polis, dan bomba di sekitar daerah Johor Bahru yang sedang berjuang memerangi wabak Covid-19.

Selain berjaya menghasilkan 978 unit pelindung muka, syarikat usahawan pelajar tersebut juga berjaya membantu dalam mengumpul dan memasang kesemua 3193 unit pelindung muka yang dihasilkan oleh pensyarah, fakulti, syarikat dan orang perseorangan mewakili UTM bermula 23 Mac sehingga 14 April 2020 lalu di Pusat Inovasi Mahasiswa & Keusahawanan Teknologi (UTM XCITE).

Sigma3Dmaker ini telah mula beroperasi semenjak awal tahun 2019 dalam pembuatan servis teknologi percetakan 3D di bawah bimbingan Pusat Inovasi Mahasiswa & Keusahwanan Teknologi (UTMXCITE).

Para pelajar dari syarikat usahawan ini bukan sahaja sangat aktif dalam mempromosikan teknologi percetakan 3D di peringkat universiti melalui media sosial seperti Instagram dan facebook, malah mereka juga aktif menjual produk dan servis mereka sendiri di dalam aplikasi Shopee yang memberi mereka potensi besar untuk berkembang di peringkat pasaran tempatan.

Usaha yang ditonjolkan oleh syarikat usahawan pelajar ini jelas menunjukkan bahawa UTM mampu  melahirkan usahawan tekno yang berdikari, cerdas dan empati dalam membantu golongan yang memerlukan iaitu bersesuaian dengan konsep inovatif, keusahawanan dan global UTM.

Explore More