November 27, 2024

Search
Close this search box.

Program Bring Your Own Cup & Safe Medication Disposal Box Pupuk Semangat Cintakan Alam Sekitar

JOHOR BAHRU, 25 Julai – Program yang berteraskan kelestarian yang bertajuk ‘Bring Your Own Cup’ dan juga ‘Safe Medication Disposal Box’ anjuran Pejabat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM CS) telah berjaya dilancarkan dengan jayanya.

Kedua-dua program ini telah dilancarkan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bertempat di Dataran Agora, kampus Johor Bahru sejurus selepas Program Keceriaan Mingguan (HCPW) Jabatan Canseleri berlangsung.

Timbalan Pengarah UTM CS selaku Penolong Pengarah Program, Dr. Shazwin Mat Taib berkata kedua-dua program ini adalah sebahagian dari program ‘Plastic-Free July’ yang dijalankan di peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai program ‘Bring Your Own Cup’ ini, Dr. Shazwin berkata aktiviti ini dijalankan bagi memberi kesedaran kepada warga kampus mengenai kepentingan penggunaan cawan, bekas makanan, serta sudu dan garpu yang dibawa sendiri ketika membeli makanan di medan selera dalam UTM.

“Selain dapat menjamin kebersihan dengan menggunakan bekas makanan sendiri, pengguna juga boleh menyumbang kepada penurunan kerosakan alam sekitar yang diakibatkan oleh penggunaan plastik pada masa yang sama.”

“Penguatkuasaan berkenaan kawalan penggunaan bekas makanan plastik di peringkat negeri Johor bermula pada bulan Julai 2020 sementara di UTM pula, kita sudah mula menguatkuasakan kawalan terhadap bahan ini lebih awal iaitu pada bulan Januari 2020,” katanya lagi.

UTM mula menguatkuasakan kawalan penggunaan bekas makanan dari plastik ini adalah dengan melalui program ‘Zero Single-Use Plastic’ yang juga merupakan program anjuran UTM CS.

Dr. Shazwin berkata pihaknya berharap melalui program seperti ini, warga UTM yang terdiri dari pelajar dan juga kakitangan mendapat pendedahan sewajarnya berkenaan dengan penggunaan bekas makanan dan minuman yang dibawa sendiri ketika membeli makanan.

“Tidak dapat dinafikan bahawa bekas makanan dan minuman yang dibawa juga diperbuat daripada bahan plastik namun ia boleh dibasuh dan digunakan semula berbanding bekas plastik makanan biasa yang bersifat sekali guna ”

“Selain kesedaran berkenaan dengan bahaya penggunaan plastik, pengunjung juga diberi pendedahan berkenaan kebolehgunaan bekas makanan yang diperbuat daripada kertas yang lebih bersifat mesra alam,” katanya lagi.

Dari segi ‘Safe Medication Disposal Box’ pula, ia memberi peluang kepada komuniti disekeliling untuk membuat pelupusan ubat-ubatan yang sudah luput dan tidak digunakan lagi dengan betul melalui kotak pelupusan yang disediakan.

Bahan yang terkandung dalam ubat amat sukar dilupuskan dengan cara biasa. Oleh itu, membuang ubat melalui kotak pelupusan yang disediakan ini amat digalakkan disamping membantu mengurangkan kesan negatif dan toksik yang berlaku pada alam sekitar.

Pengunjung yang hadir ke pelancaran program ini telah digalakkan membawa bekas minuman sendiri bagi mengambil minuman yang disediakan penganjur secara percuma. Program ini juga turut mempamerkan jualan dan inisiatif sampingan lain yang mesra alam semasa pelancaran.  Turut hadir adalah Pengarah UTM CS, Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din.

 

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr Wahid Omar (kanan) dan juga Pengarah UTM CS, Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din (kiri) selepas melancarkan program di Dataran Agora, UTM Johor Bahru

 

 

 

 

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar menandatangani papan tanda polisi penggunaan plastik di UTM sebagai tanda pelancaran program BOYC di Dataran Agora .
Kakitangan Jabatan Canseleri kampus Johor Bahru mengunjungi gerai-gerai yang disediakan selepas perasmian program di Dataran Agora.
Antara kakitangan Jabatan Canseleri yang mendapat minuman percuma dengan membawa bekas minuman sendiri.
Kakitangan Jabatan Canseleri UTM Johor Bahru bergambar kenangan selepas menjayakan program BOYC anjuran UTM CS di Dataran Agora.

Explore More