November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Julai – Sebuah galeri yang mengandungi pelbagai bahan pameran dan kajian mengenai alam bina dunia melayu telah dirasmikan di Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Galeri yang bakal menjadi pusat rujukan mengenai Alam Bina Melayu Nusantara itu telah dirasmikan oleh Dekan kepada fakulti tersebut, Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali.

Pengarah KALAM, Ar. Noraslinda Abdul Rahman berkata khazanah di pusat ini telah didokumentasikan sejak tahun 1975 dan selain menjalankan aktiviti penyelidikan berkaitan seni bina tradisional melayu, pusat ini juga menyediakan perkhidmatan professional, penerbitan, jaringan industri, perundingan serta menganjurkan kursus,seminar, persidangan dan lain-lain perkhidmatan yang memacu pembangunan masyarakat dan negara.

“Galeri KALAM menempatkan khazanah warisan negara yang sangat unik dan harus dipelihara. Ruangan pamerannya mempamerkan karya seni bina untuk dihayati oleh masyarakat tempatan dan luar negara.”

“Selain menjadi medium pendidikan untuk memperkenalkan warisan negara kepada generasi muda, galeri ini juga mampu memberikan inspirasi kepada pengunjung agar dapat menanam sifat cintakan warisan dan budaya Malaysia,” katanya.

Galeri ini juga mampu menjadi medan sosial seni yang berfungsi sebagai jambatan penghubung untuk mempertemukan masyarakat dari pelbagai lapisan bagi membincangkan kepelbagaian budaya, gagasan, gaya hidup, ideologi dan sebagainya.

Majlis turut dimeriahkan dengan penyerahan replika cek kepada Dekan FABU oleh wakil Pengarah Institut Infrastruktur Pintar dan Pembangunan Inovatif (ISIIC), Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Sam dan Pengarah Senibina, Prof. Madya Dr. Alice Sabrina Ismail sebagai simbolik menghargai kerjasama di antara mereka. Turut hadir adalah mantan Pengarah KALAM, Prof. Madya Dr. Raja Nafida Raja Shahminan.

 

Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali dan juga Pengarah KALAM, Ar. Noraslinda Abdul Rahman memegang lambang KALAM sebagai simbol pelancaran galeri pameran di pusat itu.

 

Dekan FABU (dua kanan) menerima sumbangan dari wakil Pengarah Institut Infrastruktur Pintar dan Pembangunan Inovatif (ISIIC), Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Sam.

 

Dekan FABU turut menerima sumbangan dari Pengarah Senibina, Prof. Madya Dr. Alice Sabrina Ismail.

 

Antara pengunjung yang hadir ketika perasmian galeri pameran KALAM di FABU

Explore More