April 29, 2024

Search
Close this search box.

UTM Kuala Lumpur Serah Semula Helikopter kepada TLDM

Pada 23 Julai 2020, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menyerahkan kembali dua buah pesawat milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang pernah digunakan sebagai bantuan bahan mengajar bagi pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal Aeronautik di universiti tersebut.

Laksamana Pertama Sazalee bin Shoib, Panglima Udara TLDM menyampaikan ucapan semasa majlis penyerahan helikopter

Pesawat yang diberi nama WASP HAS MK 1 ini diberikan kepada UTM pada tahun 1998 namun tidak lagi digunakan setelah program pengajian tersebut ditamatkan. Setelah sekian lama tidak digunakan, keadaan helikopter tersebut semakin usang dan mengalami kerosakan.

Justeru itu, pihak UTM telah memutuskan untuk melupuskannya. Setelah dimaklumkan mengenai pelupusan aset tersebut, pihak TLDM menyuarakan hasrat untuk mengambilnya semula untuk diletakkan di muzium TLDM di Lumut, Perak dengan kos perpindahan berjumlah sebanyak RM 30,000.00 ditanggung pihak mereka.

Pada hari ini majlis penyerahan helikopter ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada pihak TLDM atas sumbangan dalam melahirkan anak bangsa yang berpengetahuan tinggi dalam pengendalian pesawat.

Simbolik penyerahan helikopter oleh UTM kepada TLDM

Simbolik penyerahan helikopter ini disempurnakan oleh Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Pro-Naib Canselor Kampus UTM Kuala Lumpur dengan menyerahkan replika helikopter kepada Laksamana Pertama Sazalee bin Shoib, Panglima Udara TLDM. Majlis turut dihadiri oleh pegawai kanan UTM dan juga TLDM.

Dalam ucapan aluan Prof. Dr. Shamsul, beliau menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak TLDM atas sokongan kukuh terhadap UTM dan juga Dekan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Prof. Madya Dr. Astuty Amrin atas penajaan penginapan bagi pegawai-pegawai TLDM yang datang menyelenggara helikopter ini sejak 20 Julai 2020 lagi.

Prof. Dr. Shamsul menyampaikan cenderahati kepada Laksamana Pertama Sazalee bin Shoib

Explore More