November 25, 2024

Search
Close this search box.

Unit Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah sebuah bahagian yang bernaung di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan ditubuhkan khas bagi menguruskan Tabung Endowmen universiti.

Sejak dari penubuhannya, Tabung Endowmen telah menerima banyak sumbangan dari kakitangan, mahasiswa, pesara dan juga masyarakat dari sekitar UTM bagi mengisi tabung ini yang matlamat penubuhannya khusus untuk membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Sumbangan melalui Budaya Memberi atau ‘UTM Giving Culture’ ini telah membantu menjana sumber bagi Unit Endowmen untuk menguruskan pengagihan bagi disalurkan kepada pihak yang layak menerimanya khusunya pelajar.

Budaya ini juga disuburkan melalui pelbagai aktiviti menarik yang dijalankan seperti dengan menjual nombor pendaftaran kenderaan khas UTM.

Objektif utama penjualan nombor pendaftaran khas UTM adalah untuk menjana dana Tabung Endowmen bagi pembangunan Universiti dan membantu pelajar UTM yang kurang berkemampuan dan amat memerlukan bantuan kewangan.

Bagi mencapai hasrat tersebut, Unit Endowmen telah menggerakkan satu jawatankuasa kerja bagi membina satu sistem yang dapat membantu pengurusan dan penjualan Nombor Pendaftaran Khas UTM berjalan lancar dan efektif.

Satu Jawatankuasa Kerja yang melibatkan penglibatan pakar dari pelbagai jabatan seperti Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (UTMDigital), Jabatan Bendahari, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan juga beberapa pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah ditubuhkan bagi memastikan objektif program ini dapat dicapai dengan sebaiknya.

Dalam menjalankan usaha menjual nombor pendaftaran khas UTM ini dan juga menjana pendapatan bagi tabungan endowmen universiti, ketelusan haruslah dititkberatkan supaya usaha murni ini tidak disalahertikan.

Dengan penggemblengan tenaga dan komitmen tinggi semua ahli jawatankuasa kerja maka Sistem UTMeBID iaitu Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan telah berjaya dibangun dan digunakan dalam pengurusan dan penjualan Nombor Pendaftaran Khas UTM di laman sesawang bida@utm.my

Jualan nombor pendaftaran khas UTM telah berjaya menjana dana sebanyak RM1,214,179 dalam tempoh enam bulan (2 Disember 2019 – 15 Jun 2020). Jualan nombor pendaftaran khas UTM telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada staf, alumni UTM, pelajar dan pesara UTM serta orang awam.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah muncul sebagai universiti awam pertama menyahut seruan kerajaan dengan membuka bidaan penjualan nombor pendaftaran khas UTM

Dari kiri, Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon, Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofia, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Pengerusi Bahagian Pemajuan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah pada majlis perasmian pra-jualan nombor pendaftaran khas UTM di Marriot Hotel, Kuala Lumpur.

Explore More