November 27, 2024

Search
Close this search box.

PKP menuntut penyesuaian dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran di IPT

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan pada Mac yang lalu telah menyebabkan satu perubahan besar terhadap sektor perkhidmatan, ekonomi dan juga tidak terkecuali sektor pangajian tinggi negara.

Pensyarah kanan di Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Bakri Abu Bakar berkata bahawa PKP yang diisytiharkan ekoran dari penularan virus COVID-19 itu juga telah mengubah tadbir urus dan operasi semasa bagi semua organisasi, termasuk universiti.

Menurutnya lagi, fenomena yang berlaku ini telah memaksa universiti sebagai institusi keilmuan melakukan beberapa pengubahsuaian dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PnP) bagi terus melaksanakan amanah dalam memberikan pendidikan tinggi yang berkualiti serta inisiatif penyelidikan dan perkhidmatan.

“Semasa polisi bekerja dari rumah dilaksanakan berikutan PKP, UTM menerusi amanat Naib Canselor telah menyarankan empat aspek yang perlu ditekuni oleh semua warga universiti iaitu integriti, hubungan komunikasi, kreativiti dan fleksibiliti.

“Kesemua perkara ini perlu diterapkan sebagai amalan semua warga UTM supaya kekal produktif dalam meneruskan tugasan kerja harian, termasuk melibatkan proses PnP dan juga fungsi penasihatan akademik,” katanya lagi.

Dr Bakri berkata peranan penasihat akademik juga haruslah bergerak selaras dengan proses pengajaran dan pembelajaran ini kerana penasihat akademik juga adalah seorang pensyarah di samping menasihati mahasiswa berkaitan dengan hal-ehwal akademik.

“Tidak dinafikan proses adaptasi PnP akan mengambil sedikit masa bagi menukar proses pembelajaran konvensional kepada pembelajaran atas talian namun dengan kreativiti pensyarah/penasihat akademik amat diyakini dapat memastikan hasil pembelajaran tetap dicapai dalam setiap keadaan,” katanya lagi.

Dr Bakri berkata pensyarah perlu terus berhubung dengan pelajar melalui pelbagai medium komunikasi yang bersesuaian bagi mengenalpasti kaedah PnP yang efektif berdasarkan latar belakang dan keadaan semasa pelajar.

“Komunikasi dengan pelajar secara konsisten adalah penting bagi memastikan hasil pembelajaran dapat dicapai oleh semua pelajar serta untuk melakukan tindakan intervensi yang bersesuaian.

“Di sini, fleksibiliti adalah penting bagi memastikan proses PnP berlaku secara terangkum dan tiada pelajar yang akan ketinggalan disebabkan ketidakcapaian akses digital,” katanya lagi.

Menurut Dr Bakri lagi, pensyarah perlu membantu pelajar bagi menetapkan rutin pembelajaran yang baharu termasuk dengan menyediakan jadual waktu pembelajaran yang boleh dilakukan secara segerak dan tidak segerak.

“Pensyarah juga perlu membantu pengurusan masa pelajar dalam mendepani cabaran semasa dengan menstrukturkan kembali kaedah penyampaian untuk mencapai hasil pembelajaran tertentu serta jangkaan tindakan yang perlu dilakukan oleh pelajar dalam tempoh masa tertentu.

Penasihat akademik juga dapat membantu pelajar dengan lebih berkesan dan efisien sekiranya pelajar bersedia berkongsi masalah yang dihadapi. Segala masalah yang timbul akan dapat diselesaikan dengan cara dan tindakan yang betul dan seterusnya meningkatkan prestasi pelajar dalam pelbagai aspek.

Rakannya Dr Jasrul Jamani Jamian pula berpandangan peranan pensyarah dalam pelaksanaan pengajian atas talian sebenarnya jauh lebih mencabar berbanding secara bersemuka kerana pensyarah perlu memastikan pelajar yang mengikuti pengajian dapat mengikuti semua silibus seperti biasa.

“Dengan mengambilkira faktor kesediaan internet, kelajuan internet dan kuota internet, pensyarah perlu memilih medium yang sesuai, samada pengajaran dalam bentuk asynchronous (tidak selaras )mahupun synchronous (selaras).

“Bagi subjek yang melibatkan proses pengiraan seperti subjek kejuruteraan, sains tulen dan juga matematik, pensyarah perlu memastikan interaksi dua hala dapat dilakukan supaya pelajar benar-benar memahami konsep serta pengiraan yang terlibat,” katanya yang juga bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan.

Menurut Dr Jasrul lagi, pensyarah yang juga berperanan sebagai penasihat akademik perlu sentiasa berkomunikasi dengan pelajar dibawah seliaan mereka.

“Terdapat beberapa kes dimana pelajar ingin berhenti terus dari pengajian sewaktu PKP ini berlangsung, mungkin atas faktor peribadi, masalah internet, masalah keluarga dan lain-lain.

“Namun setelah berbincang dan memberikan sedikit nasihat, pelajar tersebut bersetuju untuk terus menyambung pengajian. Kebijaksanaan penasihat akademik dalam menasihati pelajar amat diperlukan dalam memastikan mereka tidak menyesal dikemudian hari,” katanya.

Pengajian kaedah atas talian ini dapat membenarkan interaksi pelajar – pensyarah dengan lebih fleksibel. Dengan kelebihan teknologi yang ada seperti Webex, Zoom atau Google Meet, interaksi antara pelajar dengan pensyarah tidak lagi terikat pada waktu bekerja atau lokasi yang sama.

“Pensyarah dapat berinteraksi dengan pelajar walaupun lokasi mereka berbeza. Sebagai contoh, sementara menunggu dilapangan kapal terbang, pensyarah dan pelajar masih boleh mengadakan perbincangan untuk projek samada di peringkat prasiswazah ataupun pascasiswazah. Kelebihan teknologi “screen share” ini membolehkan perbincangan seperti dilakukan secara bersemuka,” katanya lagi.

Sesi kuliah sedang berlangsung di kampus universiti – Gambar hiasan

Explore More