November 22, 2024

Search
Close this search box.

Normal Baharu untuk Periodisasi Latihan dan Peaking Sukan semasa Fasa PKP: VOLUME 2 – Fasa Transisi

Periodisasi adalah merujuk kepada pembahagian program latihan tahunan kepada beberapa fasa latihan utama yang setiap satu nya mempunyai matlamat yang khusus dan kesemua fasa menyumbang kepada pencapaian matlamat utama program latihan sukan.

Ini bagi memastikan program yang di rancang berlaku pada masa yang tepat dan di fasa yang betul.

Tiga fasa utama dalam sesuatu program latihan tahunan ialah fasa persediaan, fasa pertandingan dan fasa transisi. Fasa transisi adalah merupakan fasa pemulihan.

Tempoh pemulihan dan rehat atlet juga merupakan fasa yang penting dalam periodisasi latihan.

Adakah fasa PKP ini boleh dikatakan Fasa transisi Atlet yang hampir 2 bulan berada di rumah sahaja?

Seperti yang dikupaskan pada artikel periodisasi di volume 1, dalam fasa transisi atlet perlu mengekalkan 40%-60% tahap kecergasan mereka dan mengamalkan active rest. Persoalan yang bermain di fikiran Fasa transisi adalah fasa selepas kejohanan sebenar.

Bagaimana pula Fasa PKP sebab atlet masih belum bertanding pada kejohanan sebenar?

GAMBARAJAH 1 : JADUAL PROGRAM PERIODISASI

Fasa persediaan adalah merupakan fasa pertama dalam jadual periodisasi di mana fasa tersebut terbahagi kepada 2 fasa iaitu fasa persediaan umum dan fasa spesifik.

Tujuan utama fasa persediaan adalah untuk menyediakan asas yang kukuh kepada latihan yang akan di lakukan oleh atlet. Tempoh masa yang cukup harus diperuntukkan pada setiap fasa untuk membolehkan badan atlet adaptasi terhadap tuntutan latihan fizikal dan pertandingan yang akan di hadapi.

Selain itu, Fasa persediaan adalah merupakan fasa pertama atau fasa awalan dalam jadual periodisasi latihan. Fasa persediaan sesuai dijalankan sekiranya perlawanan Liga Malaysia atau liga sukan sedia ada ditamatkan dan musim baharu dimulakan namun segala keputusan yang lalu tidak diambil kira.

Jadi persoalan Fasa PKP ini, ianya pasti menjadi tanda tanya buat semua jurulatih dan pengurusan sukan untuk bermula di mana. Sudah pasti penyelidik mempunyai pendapat dan jawapan yang berbeza berdasarkan analisis masing masing.

Sehubungan itu, semoga penerangan ringkas tentang jadual periodisasi ini boleh dijadikan panduan pihak pengurusan dan badan sukan semasa fasa PKP.

GAMBARAJAH 2: FASA PERSEDIAAN UMUM

Gambarajah 2 menunjukkan perbezaan fasa persediaan umum bagi setiap kategori atlet. Terdapat 3 tahap kategori iaitu Atlet pembangunan, Atlet Beginner dan Intermediate dan yang terahir adalah Atlet Elit.

Kebiasaannya untuk mengenalpasti Atlet Elit adalah mudah di mana mereka mewakili sukan di peringkat kebangsaan dan perlu memberi komitmen penuh terhadap sukan yang diceburi.

Jika dilihat melalui jadual yang disediakan, Atlet Elit hanya memerlukan 20% fasa persediaan umum dan 80% fasa spesifik. Ini berlaku kerana Atlet kebangsaan mempunyai kebolehan biomotor dan potensi fungsian yang baik dan tidak perlu mengambil tempoh masa yang lama untuk adaptasi dengan program latihan.

Sebaliknya, perkara ini berbeza untuk Atlet pembangunan yang memerlukan 60% untuk fasa persediaan umum dan 40% lagi fasa spesifik.

Isipadu latihan Fasa Persediaan Umum hendaklah tinggi dan ditingkatkan secara ansur maju. Intensiti latihan harus diubah-ubah daripada tahap rendah hingga sederhana.

Penekanan harus diberikan kepada peningkatan keupayaan prestasi fizikal umum seperti daya tahan, kekuatan, kuasa, kepantasan, ketangkasan dan lain-lain.

Teknik lakuan dan kemahiran juga harus diberikan perhatian yang sewajarnya iaitu dengan membetulkan kesilapan-kesilapan yang utama dan memperkenalkan teknik-teknik yang baru.

Manakala bagi Fasa Persediaan Khusus, tumpuan utama fasa ini adalah untuk mengembangkan keupayaan prestasi yang spesifik dan teknik-teknik baru lakuan serta kemahiran ketahanan yang seiring dengan tahap kecergasan fizikal yang diperolehi dan jenis sukan yang diceburi.

Fasa ini dianggap penting dan memerlukan penekanan yang seimbang terhadap latihan suaian fizikal dan latihan teknik berdasarkan keperluan individu atau pasukan.

Isipadu latihan Fasa Persediaan Khusus beransur-ansur dinaikkan sehingga pertengahan fasa jadual latihan periodisasi. Kemudiaan ia dikurangkan secara beransur-ansur.

Intensiti pula harus ditingkatkan secara progresif seiring dengan pengurangan isipadu latihan yang beransur-ansur. Fokus fasa ini adalah daripada pengembangan keupayaan prestasi umum kepada peningkatan kecergasan fizikal yang spesifik kepada sukan masing-masing.

Selain itu, fasa yang penting dalam periodisasi latihan adalah merupakan Fasa Pertandingan, di mana fasa pertandingan terbahagi kepada 2 iaitu Fasa Pra-Pertandingan dan Fasa Pertandingan.

Tumpuan utama fasa ini adalah untuk mara ke puncak prestasi secara progresif melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan kecil mahupun perlawanan persahabatan yang dirancang khas. Intensiti latihan Fasa Pra-Pertandingan semakin meningkat supaya tahap prestasi dapat dinaikkan.

Latihan spesifik kepada sesuatu bidang sukan diteruskan dengan intensiti yang sama tinggi tetapi dengan isipadu yang beransur-ansur kurang. Jurulatih harus bijak menilai dan memastikan atlit tidak mengalami kelesuan secara berlebihan akibat terlalu banyak perlawanan atau pertandingan, khususnya apabila jadual semakin menghampiri pertandingan utama.

Isipadu latihan Fasa Pra-Pertandingan hendaklah dikurangkan dengan Intensiti latihan masih pada tahap yang tinggi. Suaian fizikal yang memberi penekanan kepada prestasi spesifik sukan pula dilanjutkan.

Pengembangan kemahiran menghampiri tahap akhir pada fasa ini, ia diperkemaskan dan dinilai dalam situasi-situasi yang mirip kepada keadaan pertandingan sebenar.

Atlet didedahkan kepada pertandingan-pertandingan untuk memperolehi pengalaman di samping menyesuaikan diri kepada simulasi pertandingan sebenar.

Seterusnya adalah Fasa pertandingan,  yang merupakan tunjang utama di dalam periodisasi latihan bagi menentukan kejayaan perancangan latihan yang telah di laksanakan.

Objektif utama fasa pertandingan adalah menghasilkan prestasi optimum atau tahap kemuncak prestasi Atlet.

Atlet perlu mendapat pemulihan yang secukupnya sebelum mencapai kemuncak Prestasi dalam fasa pertandingan, pertimbangan penting yang harus diambil kira adalah menyediakan peluang-peluang pertandingan yang secukupnya untuk membantu atlit mencapai prestasi optimum.

Gambarajah 3 menunjukan bagaimana latihan psikologi sukan di pertingkatkan dan di pelbagaikan semasa fasa ini dan tahap power dan maximal strength atlet di kekalkan pada tahap terbaik.

GAMBARAJAH 3 : Integrated Periodization

Panduan untuk mencapai kemuncak prestasi atlet atau peaking dalam sukan, bilangan perlawanan dan pertandingan yang diatur untuk atlet harus diminimumkan bagi menghindari kelesuan fizikal dan psikologi.

Apabila semakin menghampiri pertandingan utama dan kejohanan sebenar, isipadu dan intensiti latihan harus dikurangkan bagi membolehkan atlit pulih sebelum memuncak prestasi nya menjelang pertandingan utama.

Empat minggu terakhir sebelum pertandingan harus dirancang dengan teliti untuk mendatangkan manfaat yang maksimum kepada atlet dan pasukan seperti gambarajah 4 di bahagian Unloading for supercompensation.

Minggu 1 :

Pemulihan

Isipadu latihan-Sederhana

Intensiti latihan-Rendah

 

Minggu 2 :

Isipadu Latihan-Rendah

Intensiti latihan-Tinggi

 

Minggu 3 :

Perlawanan/pertandingan yang di rancang.

Latihan spesifik.

 

Minggu 4 :

Perlawanan/pertandingan yang minimum.

Latihan spesifik

Rehat

 

Minggu 5 :

Kejohanan UTAMA

Pertandingan SEBENAR

 

GAMBARAJAH 4 : UNLOADING FOR SUPER COMPENSATION DURING COMPETITION

Seterusnya, fasa yang terakhir dalam jadual periodisasi adalah merupakan FASA TRANSISI.

Fasa transisi adalah fasa pemulihan atlet setelah tamat pertandingan atau kejohanan utama. Tujuan utama fasa transisi adalah untuk membolehkan atlet memperoleh pemulihan dari segi fisiologi dan psikologi setelah berhempas pulas dalam satu tempoh yang lama.

Jurulatih haruslah membuat penilaian terhadap program latihan yang telah dikendalikan dan merancang untuk tahun yang berikutnya.

Pemulihan yang aktif adalah sangat penting untuk menghindarkan kemerosotan keupayaan prestasi fizikal yang mendadak.

Jurulatih harus merangka program khusus untuk mengatasi kelemahan yang telah di kenalpasti melalui periodisasi latihan.

Jurulatih perlu mengambil kira keputusan dan pencapaian semasa, kelebihan dan kekurangan program untuk dijadikan iktibar dalam perancangan program latihan pada masa akan datang.

Seterusnya pada masa akan datang, penyelidik akan mengulas dengan lebih lanjut tentang aplikasi prinsip FITT dan densiti latihan dalam jadual periodisasi  di artikel periodisasi volume

Akhir kata, Kerana Tuhan untuk Manusia dan Majulah Sukan Untuk Negara

 Penulis :

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip (012-5015090)

Timbalan Pengarah SITC,

Sports Innovation Technology Centre UTM

Institute Human Centred Engineering UTM

Sekolah Kej. Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

 

Explore More