November 22, 2024

Search
Close this search box.

Aku adalah hanya sebuah tayar. Namun aku adalah amat penting dalam sesebuah kereta kerana banyak nyawa manusia bergantung kepada aku walau saiz aku hanya sebesar tapak tangan manusia.

Aku perlu disenggarakan sekerap mungkin untuk memastikan aku sentiasa berada dalam keadaan ‘tip top’.

Aku dapat bertindak sebagai kusyen udara antara jalan dan roda. Tugas aku berfungsi untuk menyerap getaran yang disebabkan oleh permukaan jalan yang tidak rata dengan memberikan cengkaman kepada permukaan jalan raya. Dengan itu, kenderaan yang menggunakan aku boleh dikawal dengan baik semasa membelok atau membrek. Tugasanku hanya untuk memberi keselesaan kepada penumpang.

Waktu mudaku, aku sering digunakan ke sana, ke sini dan ke mana-mana sahaja. Aku menjadi kegilaan ramai atas fungsi ku yang menakjubkan. Aku telah dibeli oleh sang kayangan yang memilih tayar yang mengandungi angin untuk dipasang di keretanya.

Sesetengah kawan aku diperbuat daripada campuran getah asli, getah tiruan dan lapisan talikod yang diperbuat daripada rayon atau nylon. Ada juga kawan aku yang dicipta dari alumunium dan keluli sebagai bahan talikod. Walau bagaimanapun selepas aku meningkat dewasa dan semakin berpengalaman, aku telah berjaya menempuh beribu kilometer dengan bergolek atas jalan demi menunaikan tanggungjawabku sebagai sang tayar dan aku menjalankan amanah ini untuk berbakti kepada tuan aku.

Namun begitu, semakin hari aku mula haus dan kian haus kian tidak bertenaga dan tiba masanya aku perlu ditukar dan diganti yang baharu. Aku berasa sedih apabila khidmat aku tidak diperlukan lagi oleh tuan aku.

Suatu hari semasa di bulan Disember, tuan aku telah membawa aku ke kedai tayar kereta. Aku mendengar tuan aku bertanya kepada tauke kedai tayar tersebut semasa dalam proses memilih jenis tayar baharu untuk mengantikan aku, tayar ini bising ke? Boleh belah air ke? Bila jalan ada air ok tak? Berapa ratus? Soalan biasa yang akan ditanya dan untuk aku sebagai sebuah tayar ia seperti menguji kemampuan dan kelayakanku. Pada aku sebagai sang tayar, letakkanlah aku di tempat yang sepatutnya pasti aku akan memberi nilai yang lebih baik. Sekiranya aku tidak bernilai sekarang mungkin ada tempat yang akan lebih menghargai nilaiku suatu hari nanti.

Walaupun aku jenis tayar ‘all season’, tapi jenis ku bukan jenis yang mencengkam kuat seperti tayar ‘performance’. Negara Malaysia sangat bertuah kerana memiliki keadaan cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun. Jadi pemilihan tayar seperti aku sangat mudah, dan tidak kritikal seperti pengguna di negara-negara empat musim. Pemandu biasa negara ini cukup saja menggunakan tayar jenis semua musim (all season).

Berbual-bual tanpa sedar aku telah pun digantikan dengan tayar baharu dan tuan aku telah berlalu pergi meninggalkan aku pada bulan Disember di kedai tayar kereta.

Seperti biasa tayar seperti aku akan dicampak dan dilonggokkan di belakang kedai. Bukan aku tak suka dilonggokkan bersama yang lain cuma aku rasa nafasku sesak dan aku pasti akan terkena tempias hujan. Tayar seperti aku apabila dibuang akan menjadi tempat pembiakan yang ideal untuk nyamuk dan haiwan yang membawa penyakit lain kerana bentuk berongga aku yang bulat mampu menakung air untuk jangka masa yang lama.

Namun apa dayaku, aku harus terima keadaan seadanya. Aku perlu kuat mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh pancaroba. Adakala aku di atas, adakala aku di bawah, kadang kadang aku susah, kadang kadang aku senang dan kejap tenang kejap bergelora. Ia menjadi satu pengalaman dan pengajaran buat aku.

Tiba2 ada satu suara menjerit dari atas sebuah motosikal, “Tauke berapa harga tayar nak buang tu? Saya nak ambik boleh?

“Lu nak buat apa sudah rosak maa,” sahut tauke.

“Aiya jangan tanya lar, saya mau pakai,” jawab penunggang motosikal.

“Okey, Okey saya jual RM30 second hand kasi lu,” kata tauke.

“Okey baik tauke,”.

Aku melihat anak muda tersebut mengeluarkan beg duitnya mengira duit cukup atau tidak cukup untuk membeli aku. Lalu beliau membayar dan mengangkutku pulang menggunakan motosikal. Diletakkan aku di bawah bumbung, dibasuhnya aku dan dilapkan dengan pengilat tayar.

Kemudian aku disusun di satu tempat untuk bersedia apabila hendak digunakan lagi. Cuma aku tertanya-tanya apa tujuan sebenar tuan baharu aku membeli aku. Nak gunakan aku untuk jadi pasu bunga ke? Atau nak guna aku untuk jadi perhiasan perabot? Atau mungkin untuk menjadi tembok pertahanan diri ?

Pada awal bulan Februari, tiba-tiba aku diangkut oleh sebuah pasukan dan dibawa ke sebuah sekolah. Aku hairan kerana ketiadaan tuan aku. Cuma aku diambil dan dibawa ke sekolah. Jarang-jarang aku ke sekolah.

Aku dilonggokkan di penjuru padang sekolah. Pasukan tersebut menyusun aku mengikut susunan yang telah diatur dan dibahagi kepada beberapa stesen. Dari  jauh aku lihat ramai pelajar sekolah melihat aku disusun. Kemudian apabila telah siap, aku melihat pasukan ini memanggil semua orang dan memperkenalkan diri mereka.

Rupa-rupanya aku akan digunakan dalam latihan rentas halangan kepada pelajar sekolah tersebut. Wah ini satu tugas baru kepada aku, sangat menarik. Aku ingat aku sudah tidak berguna dan tiada fungsi lagi. Rupanya berguna dan berbakti kepada pendidikan sekolah. Seronok melihat kanak-kanak riang menggunakan aku dan menjadikan aku sebagai latihan rentas halangan. Semoga dengan latihan ini, menjadikan mereka kental dan tidak mudah mengalah satu hari nanti. Kalau ada yang terjatuh dan tersepak aku, cuba belajar untuk bangun dan bangkit dalam apa jua situasi.

GAMBARAJAH 1 : RENTAS HALANGAN MENGGUNAKAN TAYAR TERPAKAI
GAMBARAJAH 2 :  INOVASI TAYAR UNTUK  AKTIVITI MENCABAR
GAMBARAJAH 3 : KEGEMBIRAAN KANAK KANAK MELAKUKAN AKTIVITI

Kemudian apabila telah habis acara rentas halangan tersebut aku disusun dan diletak kembali ke tempat yang selamat. Tuan aku juga dengar khabar akan membeli kanvas untuk menutup secara tertib supaya aku tidak basah terkena tempias hujan.

Satu hari, aku terdengar perbualan beberapa orang pekerja kontraktor yang sering menjadikan kawasan aku sebagai tempat rehat mereka.

“Susahlah kita PKP diumumkan, semua kerja perlu dihentikan buat sementara waktu. Semua orang perlu berada di rumah sewaktu PKP untuk mengelakkan virus COVID-19 merebak,” kata salah seorang daripada mereka.

“Kita kena patuhi benda ni sebab virus ini merebak cepat satu dunia dan telah membunuh ribuan orang,” sahut seorang lagi.

Aku berasa sedih dengan apa yang berlaku, aku dapat bayangkan yang aku akan tidak berguna lagi dan terbiar begitu sahaja. Tiba-tiba tidak sampai seminggu sahaja semua berada dalam keadaan senyap sepi kerana PKP.

Aku dapat merasakan kesunyian ini. Aku rasa dah tiba masanya aku sedar diri dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku. Aku perlu berubah dan kuat untuk mengharungi semua ini dan tidak membazirkan masa aku lagi.

Aku rasa tuan aku menggunakan masa ini dengan sebaiknya untuk melindungi keluarga beliau di rumah. Aku gembira untuk beliau kerana aku tahu beliau kuat bekerja dan tempoh masa PKP ini dapat digunakan beliau untuk menyantuni dan meluangkan masa bersama orang tua beliau yang telah banyak berjasa kepada beliau. Dalam apa jua perkara, apabila kita sakit dan terlantar satu hari nanti yang akan menjaga kita adalah keluarga kita dan bukan orang lain.

Walaubagaimanapun, aku juga turut telah diberitahu oleh rakanku sebuah tong gas, beliau dan aku tayar menjadi inovasi baru sukan untuk melakukan senaman. Sewaktu PKP ini secara tidak langsung semakin mendadak ramai orang menggunakan kami untuk membina imunasi badan dan menjaga kesihatan. Siapa sangka di penghujung cerita, aku sang tayar masih lagi berguna pada bangsa dan negara.

Ramai orang tidak dibenarkan keluar rumah dan mereka menggunakan tayar dan tong gas sebagai alat senaman. Dengar khabar tuan lama aku yang tukar tayar kereta baru, tidak dapat ke mana-mana lagi dan hanya duduk rumah kerana road tax kereta telah mati.

GAMBARAJAH 5 :  TAYAR SILVERSTONE
GAMBARAJAH 6 : SENAMAN MENGGUNAKAN TONG GAS
GAMBARAJAH 7 : SENAMAN MENGGUNAKAN TAYAR
GAMBARAJAH  8 : AKTIVITI TABATA MENGGUNAKAN TAYAR

Tempoh PKP ini memberikan kita semua satu peluang untuk muhasabah diri kita sendiri. Jika waktu ini tidak menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya pasti akan menjadi satu kerugian pada kita.

Gunakanlah waktu ini secara bermanfaat untuk melakukan muhasabah diri.  Jika kita jatuh bangunlah semula meneruskan kehidupan. Jangan pernah ada kamus putus asa dalam diari kehidupan ini. Sabar apabila diuji kerana setiap ujian yg diberi adalah pembakar semangat untuk menempuhi ujian yang lagi berat. Sesungguhnya Allah tidak akan menguji hambaNya melepasi tahap keupayaan nya. Dan sesungguhnya, Hanya pada Allah lah kita mengadu. Akhir kata, kerana Tuhan untuk Manusia dan Majulah Sukan untuk Negara.

GAMBARAJAH 9 :  PASUKAN SPORTS INNOVATION TECHNOLOGY CENTRE UTM

 

GAMBARAJAH 10 : IHUMEN PILLARS

 

Disediakan oleh :

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Timbalan Pengarah SITC,

Sports Innovation Technology Centre UTM

Institute Human Centred Engineering UTM

Sekolah Kej. Bioperubatan dan Sains Kesihatan UTM

Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia.

Explore More