November 22, 2024

Search
Close this search box.

Kuala Lumpur, 27 Mac – Hari ini Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT) telah menerima kunjungan oleh doktor pakar Pusat Pakar Perubatan UiTM (PPPUiTM), Sungai Buloh iaitu Dr. ‘Abid seorang doktor pakar bedah jantung & paru-paru manakala seorang lagi ialah Dr. Nadia, doktor pakar bius jantung yang hadir ke makmal MJIIT bagi melihat sendiri usaha MJIIT membuat prototaip kotak intubasi pelindung yang akan digunakan oleh pesakit-pesakit Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor yang kini memerlukannya.

Usaha murni ini telah diketuai oleh Encik Hairul Lail Ismail, Penolong Pegawai Latihan Vokasional. Pembikinan prototaip ini dilakukan menggunakan kepakaran serta kelebihan terknologi dan peralatan yang terdapat di makmal-makmal MJIIT. Turut bersama ialah tiga orang lagi alumni MJIIT iaitu Syafreena Ezzany, Amalin Zahra dan Puteri Nor Adilah yang merupakan pencetus kepada usaha murni ini apabila mereka terpanggil untuk menyumbang setelah melihat pengumuman hospital yang memerlukan peralatan tersebut. Penambahbaikan rekabentuk kotak intubasi juga melibatkan kepakaran dari Razak School UTM KL iaitu En. Kamal Bani Hashim.

“Alhamdulillah, kami telah menyiapkan prototaip kotak intubasi ini dan kami bercadang untuk membuat lebih banyak unit bagi menyumbang sesuatu kepada keperluan masyarakat serta mengharapkan agar wabak Covid-19 ini segera pulih.” kata En Hairul Lail.

Setelah itu,  pihak doktor pakar dari Hospital Sungai Buloh telah membuat percubaan di situasi sebenar dan berpuas hati dengan hasil tersebut.

Sebelum itu, Naturel Kiss Sdn. Bhd yang merupakan syarikat spin-off UTM di bawah MJIIT juga telah turut tampil kehadapan untuk memberi sumbangan kepada mahasiswa melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM Kuala Lumpur.

Terima kasih diucapkan atas usaha dan pengorbanan yang telah dilakukan serta tahniah kerana meneruskan inisiatif UTMPrihatin!

Explore More