April 30, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Komputeran perkenal subjek berkonsep khidmat masyarakat

JOHOR BAHRU, 1 Januari 2018 –  Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memperkenalkan subjek ‘Application Development Validation and Community Engagement’ (ADvance) yang memberikan lebih pendekatan kepada konsep Khidmat Masyarakat.

Salah sebuah  kumpulan memberi penerangan kepada panel juri. 
Peserta ADvance 2017 bergambar besama Dekan Fakulti Komputeran UTM, Prof. Dr. Abdul Samad Hj. Ismail (barisan hadapan: empat dari kiri) selepas tamat acara penyampaian hadiah.

Kursus itu diperkenalkan sebagai sokongan kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang menitikberatkan aspek khidmat kemasyarakatan di kalangan mahasiswa Universiti Awam (UA) Malaysia.

Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Mahasiswa) Fakulti Komputeran, Prof. Madya Dr. Dayang Norhayati Abang Jawawi berkata kursus berkenaan berasal dari subjek ‘Application Development’ khusus untuk mahasiswa tahun tiga.

“Ketika diperkenalkan pada tahun 2009, subjek ini adalah matapelajaran yang diambil oleh mahasiswa tahun tiga Fakulti Komputeran bagi tujuan penilaian dalaman sahaja.

“Walau bagaimanapun, perubahan mula berlaku pada semester akademik sesi 2017/2018 apabila kami mengubah konsep subjek ini kepada lebih berorentasikan khidmat kemasyarakatan,” katanya.

Prof. Dayang Norhayati berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah kepada kumpulan terbaik program berkenaan yang berlangsung di Fakulti Komputeran, kampus Johor Bahru.

Seramai 134 orang mahasiswa yang dibahagikan kepada 30 kumpulan telah ditugaskan untuk bekerjasama dengan pelbagai lapisan komuniti di luar kampus bagi membangunkan aplikasi Teknologi Maklumat berdasarkan keperluan golongan berkenaan.

“Dalam menjalani projek ini, mahasiswa diberikan pilihan sebanyak empat tema iaitu Keusahawanan, Sosial, Pendidikan dan Kesihatan.

“Pembangunan aplikasi mengikut keperluan komuniti haruslah berpaksikan kepada mana-mana pilihan yang telah ditetapkan mengikut keperluan masing-masing dan seterusnya akan dinilai pada peringkat akhir,” katanya.

Sebanyak tiga kumpulan terbaik telah dipilih bagi setiap kategori yang ditetapkan. Kesemuanya menerima hadiah masing-masing dari Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Dr. Abdul Samad Hj. Ismail.

Explore More