April 27, 2024

Search
Close this search box.

Mendapat tempat bagi menyambung pengajian merupakan sesuatu yang diidamkan semua yang mengimpikan untuk ke menara gading. Walau bagaimanapun impian ini mungkin tidak kesampaian sekiranya pelajar ini berdepan dengan masalah kewangan atau kekangan kewangan yang tidak mengizinkan.

Perkara ini amat malang dan tidak seharusnya berlaku, apatah lagi sekiranya pelajar ini memiliki keputusan kelayakan yang sangat cemerlang.

Menyedari situasi inilah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif untuk membantu dalam memastikan pelajar-pelajar ini tidak tercicir dan mampu meneruskan pengajian bersama-sama pelajar lain.

Antara inisiatif yang diambil adalah seperti menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk biasiswa, pengecualian yuran dan bantuan secara one-off. 

Biasiswa Endowmen bantu Pelajar Prasiswazah 

Sehinga 31 Disember 2019, biasiswa Endowmen ini telah membantu 679 orang pelajar Program Ijazah Sarjana Muda dengan jumlah peruntukan kira-kira RM20 juta,

Menariknya sumber yang diperoleh dana Endowmen ini adalah janaan amalan memberi atau giving culture yang disuburkan kepada warga universiti. Ini kerana, dana ini dijana oleh sumbangan pelbagai pihak seperti alumni, industri, staf dan pelajar UTM sendiri. Sehingga Disember 2019 juga, tabung Endowmen ini telah mengumpul dana kira-kira RM106juta.

Biasiswa ini disediakan kepada pelajar UTM yang akan memasuki Tahun Pertama pengajian bagi Program Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa. Terdapat 3 kategori Biasiswa Endowmen iaitu:

  1. BIASISWA ENDOWMEN MERDEKA UTM
  2. BIASISWA ENDOWMEN AZMAN HASHIM UTM
  3. BIASISWA ENDOWMEN ALUMNI UTM
Image result for endowment utm
Prof Madya Dr Yusof Boon

Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof Madya Dr Yusof bin Boon berkata, pemberian bantuan kewangan ini bertujuan membantu pelajar kurang mampu sekaligus merancakkan aktiviti kesarjanaan di UTM.

“Dengan bantuan kewangan ini juga pelajar tidak perlu risau tentang masalah kewangan, kerana peruntukan endowmen adalah mencukupi untuk membiayai yuran pengajian sekaligus menampung kos keperluan seharian pelajar,” kata beliau.

Menurut beliau, nilai biasiswa Endowmen ini adalah dalam bentuk penajaan berjumlah dari RM9,000 sehingga RM12,000.00 setahun.

“Selain penajaan dalam bentuk biasiswa, UTM turut membantu secara one-off seperti melalui penubuhan Almari Kasih Sayang yang mengandungi makanan percuma, bantuan kewangan sempena perayaan serta sumbangan makanan percuma (Free Food).

Ini bagi menyahut inisiatif UTMPrihatin universiti yang sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar,” tambah beliau lagi.

Insentif Kecemerlangan Kepada Pelajar Pascasiswazah

Impak kelahiran graduan pascasiswazah adalah amat besar dan penting kepada universiti.

Hal ini kerana graduan pascasiswazah merupakan antara bakal pakar bidang dan ahli akademik yang menyumbang kepada kemajuan universiti dan negara di mata dunia.

Walau bagaimanapun, tidak semua graduan peringkat Sarjana Muda mempunyai semangat yang tinggi untuk menyambung pengajian ke peringkat pascasiswazah, tambahan lagi sekiranya berdepan kekangan kewangan. Menyedari hakikat ini, Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) UTM telah membawa hasrat universiti dalam memastikan kebajikan pelajar pascasiswazah dan memperkenalkan beberapa bantuan kewangan sebagai insentif kecemerlangan pelajar.

Bagi pelajar tempatan, terdapat dua biasiswa yang ditawarkan iaitu :

  1. UTM Zamalah
  2. National Postgraduate Fund (NPF)

UTM Zamalah ditawarkan kepada pelajar Malaysia yang cemerlang yang berdaftar di mana-mana program Doktor Falsafah di UTM yang meliputi yuran pengajian dan elaun sara diri secara bulanan berjumlah RM1500.

Prof Madya Dr Noor Hazarina binti Hashim

Pengerusi SPS UTM, Prof Madya Dr Noor Hazarina binti Hashim berkata, sehingga 2019, bilangan penerima biasasiswa Zamalah telah memanfaatkan 1,079 orang pelajar dengan jumlah penajaan kira-kira RM57.7juta.

“Biasiswa ini diberikan secara berperingkat setiap tahun berdasarkan prestasi akademik penerima biasiswa tersebut.

Ini bagi memastikan pelajar komited dengan pengajian masing-masing dan seterusnya bakal melahirkan graduan yang berkualiti untuk menjadi pakar akademik pada masa hadapan,” tambah beliau.

Bagi National Postgraduate Fund (NPF) pula, UTM telah membantu meringankan beban kira-kira 1,581 penerima biasiswa dengan jumlah penajaan kira-kira RM2.6juta sejak penubuhan tabung itu pada tahun 2016.

Biasiswa NPF diberi kepada pelajar Doktor Falsafah dan Sarjana tempatan dalam bentuk pengecualian yuran pada semester yang ditaja iaitu sebanyak RM1,000.00

Menurut Dr Hazarina, biasiswa NPF telah ditubuhkan sebagai salah satu inisiatif untuk menarik pelajar tempatan meneruskan pengajian pascasiswazah di UTM.

“Keutamaan diberikan kepada pelajar yang mempunyai rekod penerbitan yang baik bagi membolehkan pelajar layak memohon NPF. Penerbitan ini meliputi penerbitan dalam bentuk jurnal artikel atau pembentangan kertas kerja yang berkaitan dengan topik kajian.

Penerbitan ini memberikan impak besar kepada pencapaian universiti bagi kriteria penerbitan dalam MyRA. Pada tahun 2018, 2294 artikel telah dihasilkan untuk penerbitan di SCOPUS, Web of Science dan ERA.

Secara keseluruhan, pelajar tempatan telah menyumbang 545.72 cumulative impact factor kepada UTM pada tahun 2018

Insentif Pelajar Antarabangsa

Bagi pelajar antarabangsa pula, UTM turut memperuntukkan biasiswa International Doctoral Fellowship (IDF) kepada pelajar doktor falsafah dalam bentuk pengecualian yuran pada semester yang ditaja iaitu sebanyak RM 2,000.00.

Sehingga 2019, bilangan penerima biasiswa IDF ini ialah 5,595 orang dari 32 negara dengan jumlah penajaan kira-kira RM21.3juta sejak penubuhannya pada tahun 2011.

“Istimewanya biasiswa IDF ini ialah ia dapat juga membantu kewangan pelajar antarabangsa terutama dari Asia Barat seperti Libya, Syria, Iraq dan Nigeria yang terjejas dengan kemelut ekonomi dan peperangan.

IDF juga dilihat sebagai satu inisiatif untuk mengekalkan bilangan kemasukan dan enrolmen pelajar pascasiswazah antarabangsa di UTM,” kata Dr Hazarina.

Menurut beliau lagi, pelajar dikehendaki mempunyai sekurang-kurangnya satu penerbitan untuk membolehkan pelajar layak menerima biasiswa IDF. Hal ini meliputi penerbitan dalam bentuk jurnal artikel atau pembentangan kertas kerja.

“Secara keseluruhan, pelajar antarabangsa telah menyumbang 413.89 cumulative impact factor kepada UTM pada tahun 2018. Dari aspek GOT, pelajar antarabangsa menyumbang lebih daripada 70% kepada statistik GOT UTM.

Oleh itu pemberian biasiswa kepada pelajar antarabangsa ini amat signifikan kepada universiti dari segi pencapaian universiti bagi kriteria penerbitan dalam MyRA dan pengekalan status Universiti Penyelidikan”tambah beliau lagi.

UTM Young Scholars Grant

Terbaharu, SPS juga sedang dalam proses mewujudkan tabung khas untuk membantu pelajar dari segi bayaran yuran persidangan / conference pelajar pascasiswazah. Bagi tujuan ini, universiti memperuntukkan kira-kira RM355,300.00.

Menurut Dr Hazarina, tabung ini merupakan salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan saluran bantuan kewangan kepada pelajar pascasiswazah yang melanjutkan pengajian di UTM dan terbuka kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

“Kadar yang dicadangkan bagi tuntutan pelajar Doktor Falsafah adalah RM 700, manakala pelajar Sarjana (Penyelidikan) sebanyak RM 500. Pelajar boleh memohon tuntutan ini sebanyak satu kali sahaja sepanjang pengajian di UTM.

“Geran ini juga bakal menggalakkan penyelidikan, mobiliti dan jaringan yang baik dalam kalangan pelajar pascasiswazah di UTM, selain memberikan motivasi kepada pelajar untuk meneruskan dan menyempurnakan pengajian mereka di UTM dengan cemerlang, serta membolehkan mereka menghasilkan penerbitan yang berkualiti tinggi,” tambah beliau.

Selain biasiswa yang disediakan oleh universiti, terdapat juga sumbangan yang datang terus dari industri seperti Malaysia Building Society Berhad, Maybank, Kiswire, Johor Corporation, Yayasan Sime Darby dan banyak lagi.

Explore More