April 29, 2024

Search
Close this search box.

“Umpama mimpi dalam mimpi,”

Begitulah yang boleh diumpamakan kepada perasaan yang dialami oleh Muhammad Amir Haqim Abdul Razak sewaktu pertama kali melangkah kaki ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau merupakan salah seorang dari 172 orang pelajar baharu yang mendaftar pada Semester II, Sesi 2019/2020 di UTM di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana bagi kampus UTM Johor Bahru pada 5 Februari dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) bagi kampus UTM Kuala Lumpur pada 6 Februari 2020 lalu.

Muhammad Amir Haqim Abdul Razak

Melanjutkan pengajian di universiti pastinya menjadi impian mana-mana anak muda mahupun mereka yang bercita-cita tinggi untuk mengejar kecemerlangan mengikut potensi masing-masing.

Anak kelahiran Pasir Gudang, Johor, Amir Haqim kini tidak lagi bermimpi apabila mendapat tawaran memasuki UTM, peluang yang diidamkannya selama ini.

Dua sahabat, Felicia Anne a/p Sandianysamy (kiri) dan Ashvyna a/p Mahadevan

Apa yang pasti, pelajar kursus Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kejuruteraan Mekanikal) ini boleh berbangga kerana menjadi anak pertama dalam keluarga yang menuntut di UTM.

Beliau yang bercita-cita menjadi guru terbaik yang berbakti mendidik anak bangsa dan masyarakat turut berharap dapat menimba sebanyak ilmu yang boleh membantunya mendidik dengan sempurna.

“Menuntut di sini ibarat mimpi jadi kenyataan. Tidak sangka saya bertuah dapat tawaran ke sini,” ujar beliau lagi yang menjadikan Angkasawan Negara, Dato Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai idolanya.

Bagi pelajar kursus Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (TESL), Felicia Anne a/p Sandianysamy, UTM sememangnya merupakan universiti pilihan pertama beliau ketika memohon melalui UPUonline.

Perkara yang sama dikongsi oleh rakannya, Ashvyna a/p Mahadevan, pelajar kursus yang sama yang datang dari Kedah. Selain memilih UTM sebagai pilihan pertama, beliau sangat teruja untuk meneroka lebih banyak pengalaman sepanjang menimba ilmu di sini. Kedua-dua sahabat itu mula berkenalan ketika sesi temuduga dan ujian kemasukan kira-kira sebulan yang lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus ketika Sesi Engagement Bersama Pelajar Baru

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus ketika Sesi Engagement Bersama Pelajar Baharu di Dewan Sri Perdana berharap semua pelajar dapat merebut segala peluang yang ada untuk menggilap potensi masing-masing.

UTM sentiasa menyediakan ekosistem terbaik bagi membantu pelajarnya melalui Pusat Kaunseling, UTM Sports Excellence, Pusat Kesihatan UTM, UTM Career Centre, Bahagian Kebajikan Pelajar serta Bahagian Aktiviti & Pembangunan Pelajar.

Beliau juga menggesa semua pelajar supaya sentiasa bergiat aktif dalam aktiviti pembangunan pelajar serta bijak menyeimbangkannya dengan pelajaran.

“Satu lagi aspek penting yang perlu direbut oleh pelajar ialah pengalaman di luar negara melalui program-program seperti latihan industri, Global Outreach Programme (GOP), Gap Year, pertukaran pelajar, Study Abroad dan banyak lagi,” tambahnya.

Petugas mengedarkan topeng muka kepada pelajar baru

Sesi pendaftaran pelajar baharu kali ini juga mengambilkira langkah berjaga-jaga tambahan untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak jangkitan novel coronavirus.

Antara pendekatan utama yang terlibat ialah agihan topeng muka kepada semua petugas dan pelajar baharu, penyediaan pencuci tangan (sanitizer) di setiap pintu masuk dan keluar dewan serta tempoh masa pendaftaran yang disingkatkan.

Bekas makanan dan minuman kepada semua pelajar baru

Setiap pelajar baharu juga dibekalkan dengan bekas makanan dan minuman bagi menggalakkkan mereka menggunakannya setiap masa sekaligus menyokong kempen ‘Katakan Tidak Kepada Plastik Sekali-Guna selain sesi taklimat pelestarian kampus yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah UTM Campus Sustainability, Dr. Shazwin Mat Taib.

Explore More